Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) tahun 2015 ini akan terus kekal dengan rekod buruknya pada tahun 2014 sebagai pasaran saham yang paling teruk di rantau Asia Pasifik jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan persekutuan BN tidak serius menyelesaikan skandal 1MDB bernilai RM42 bilion dan menghentikan skandal kewangan bersiri sebagaimana yang berlaku kepada saham Bumiputera bernilai RM52 bilion dan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bernilai RM13.5 bilion.
Kejatuhuan nilai di bursa-bursa Asia Pasifik semalam tidak mengejutkan kerana ia berlaku berikutan pengukuhan nilai dollar Amerika dan pengurangan kadar pengangguran Amerika, yang memungkinkan kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve (Bank Negara) Amerika dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Bagaimanapun, Malaysia akan menanggung akibat yang tak setara kerana lemahnya pasaran modal dan saham walaupun negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi di antara 5.7% dan 6% tahun lalu. KLCI Malaysia pada tahun 2014 telah jatuh 5.7%, kejatuhan paling tinggi di kalangan bursa Asia Pasifik. Sedangkan negara seperti Thailand yang hanya mencatatkan pertumbuhan ekonomi 1% hingga 2% sahaja pada 2014 telah berjaya meningkatkan indeks pasaran sahamnya kepada 15.3% manakala indeks pasaran saham Filipina menjadi contoh terbaik di rantau ini dengan peningkatan 22.8% pada 2014.
Mengapa Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi hampir 6% pada 2014 menjadi negara yang paling teruk prestasinya berbanding negara-negara jiran yang lebih rendah kadar pertumbuhan ekonomi mereka? Jelaslah bahawa pelabur antarabangsa tidak berminat dengan prestasi masa lalu tetapi lebih serius tentang prospek masa depan KCLI dan Malaysia sendiri.
Dan prospek masa depan KCLI adalah negatif kerana terlalu banyak persoalan timbul tentang skandal 1MDB yang berjumlah RM42 bilion itu yang telah menambah rasa syak wasangka bukan sahaja terhadap ketelusan dan kemampuan pasaran modal negara, tetapi juga tentang sama ada penarafan kredit (credit rating) Malaysia akan terjejas jika terdedah segala-galanya tentang 1MDB. Atas sebab ini, amat penting bagi 1MDB dan Kementerian Kewangan mendedahkan segala-galanya secara terbuka tentang skandal tersebut supaya semua orang tahu kos sebenar jika apa yang paling ditakuti benar-benar berlaku.
Tindakan mengejutkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyaman Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang hanya mendedahkan skandal 1MDB tidak akan dapat melindungi masalah yang sememangnya wujud. Tindakan pantas oleh sebuah badan bebas yang dihormati lagi dipercayai sebenarnya lebih penting untuk memulihkan keyakinan terhadap pasaran modal kita. Jika tidak, Malaysia akan menderita kesan buruk ketempangan ekonomi negara, iaitu mencatat kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi tetapi menjadi pasaran saham yang paling buruk di rantau ini.