Klip video “Onederful Malaysia” kini dimasukkan sarikata Bahasa Malaysia, membuktikan ia adalah satira politik yang tidak menghina mana-mana kaum atau agama. Saya ingin meminta pihak yang tidak bertanggungjawab henti segala tohmahan ke atas saya
Sejak saya mengeluarkan klip video “Onederful Malaysia” yang berbentuk satira politik sempena Tahun Baru Cina pada 31 Januari 2014, ia mendapat sambutan baik daripada masyarakat yang memahami bahasa Cina, khususnya golongan muda.
Tetapi ada pihak yang tidak bertanggungjawab daripada UMNO telah memutarbelitkan klip video satira politik ini dengan mendakwa saya mengutuk orang Melayu – mereka menuduh saya mengatakan “Melayu mati” atau “orang Melayu bodoh”. Tuduhan-tuduhan itu adalah bohong dan mungkin berpunca kerana orang yang membuat tuduhan tersebut tidak faham bahasa Mandarin dan Kantonis dalam klip video itu. Berikutan tuduhan-tuduhan palsu itu, telah berlakunya gangguan, ugutan dan ancaman terhadap saya.
Kini klip video tersebut dimasukkan sarikata Bahasa Malaysia supaya semua rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu dapat memahami dengan jelas isi kandungan klip video itu dengan lebih mudah. Tajuk klip video yang mempunyai sarikata Bahasa Malaysia dalam youtube ialah “Teresa Kok Onederful Malaysia CNY 2014 Sarikata Bahasa Malaysia”
Diharap usaha ini dapat membetulkan persepsi yang salah serta mendedahkan pembohongan golongan rasis yang telah membuat tuduhan palsu terhadap saya . Juga diharapkan golongan yang telah menabur fitnah terhadap saya kerana tidak faham Bahasa Mandarin dan Kantonis serta gagal memahami isi kandungan klip video satira “Onederful” Malaysia supaya menghentikan perbuatan yang sia-sia itu.
Tajuk klip video ini “马来犀利啊!adalah “Kuda Datang Dengan Hebatnya!” sempena Tahun Kuda bagi sambutan Tahun Baru Cina kali ini. Isi kandungannya adalah berkenaan isu-isu semasa yang selalu menjadi sebutan rakyat. Klip video ini tidak menyebut mana-mana pemimpin negara dan menimbulkan apa-apa isu perkauman sebagaimana yang dituduh oleh beberapa pemimpin UMNO. Klip ini juga tidak menghina mana-mana kaum atau agama serta tidak memperlekehkan pihak keselamatan negara dalam insiden Lahad Datu.
Semoga golongan yang berniat jahat dan sesiapa sahaja yang telah dihasut oleh golongan penyebar tuduhan palsu itu dapat menyaksikan sendiri kebenaran, dan tidak lagi menyebarkan fitnah dengan sewenang-wenangnya.
Henti Pememutarbelitan Isu Pembuangan Cat Merah dan Ayam Mati ke Tangga Pejabat Pusat Khidmat Seputeh
Saya juga ingin menyeru golongan yang tidak bertanggungjawab menghentikan pemutar-belitan isu tentang ayam mati dan cat merah dilempar ke kaki tangga pusat khidmat DAP Seputeh dengan menuduh saya yang melakukan kesemua ini sendiri dalam media social mereka. Saya telah menunjukkan bukti bahawa pintu grill itu mempunyai lubang yang boleh dimasukkan tangan untuk membuang cat merah yang dimuat dalam bungkusan plastic dan juga ayam mati.
Pemimpin DAP dan saya sentiasa berjuang menentang perkauman dan penindasan serta mahu mewujudkan masyarakat Malaysia berbilang kaum yang berpegang kepada semangat muhibbah dan setiakawan.