Pada tika kita dengan ghairah dan gembira balik kampung, menyambut beransurnya Ramadhan dan ketibaan syawal bersama keluarga dan yang tersayang, adanya umat Islam khususnya orang Kita, Rakyat Malaysia yang ditimpa konflik dan terperangkap di Sudan yang berada di ambang perang saudara.
Kerajaan dan wisma putra sedang melakukan segala dalam kemampuan dan kuasa kita untuk pastikan semua warganegara Malaysia di sana selamat dan diberi perlindungan yang sebaik mungkin. Segala usaha juga sedang dilakukan untuk memastikan mereka dapat kembali ke tanah air secepat mungkin juga.
Konflik yang meletus pada ambang aidilfitri ini harus dijadikan pedoman kepada kita, bahwasanya keamanan bukan sesuatu yang murah dan mudah. Dan ketenteraman bukan sahaja boleh digugat oleh kuasa luar, tetapi ia boleh tertanam oleh sesetngah puak dari kalangan kita yang sanggup menggadai keamanan demi kuasa.
Pada raya ini, saya terpanggil untuk mendalami- malah mengajak semua untuk menghayati sebuah ucapan yang bukan saja didengari pada musim perayaan tetapi setiap hari siang dan malam, setiap pertemuan dan perpisahan. Iaitu ucapan Asalamualaikum – yg membawa maksud semoga ketenteraman dan kemanan melimpah ke atas mu.
Jangan kita pandang enteng atau meremehkan keamanan, kerana ia boleh pergi dan hilang sebegitu sahaja. Jangan sekali-kali lepaskan satu pun peluang untuk memupuk perpaduan, menjalin persahabatan, mengeratkan kebersamaan. Jauhilah sikap pecah belah dengna mengangkat sifat bertolak ansur, tanamlah rasa dan niat kebencian dan curahkan segalanya dengan kasih dan sayang. Bukan sahaja kita ucapkan asalamualaikum di mulut tetapi kita Pancarkan maksud sebenar Assalamualaikum dengan tindakan yg iklhas dari jiwa sanubari kita.
Sama-sama kita doakan keselamatan semua umat manusia, khususnya umat islam yang terpaksa beraya jauh tanpa keamanan. Kepada yang tidak ditimpa konflik, kita sebarkan mesej keamanan, kasih dan sayang, pada aidilfitri ini dan setiap hari selepsnya.
Pelita hiasi jalan ke masjid
Panjut disusun cahaya halaman
Sepadu bagai kertas berjiilid
Madani teraju Malaysia aman