Saya mengalu-alukan pelan kerajaan untuk melonggarkan syarat permohonan pekerja asing bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam sektor pertanian. Pada masa yang sama, saya dengan ikhlasnya menyeru semua agensi dan jabatan kerajaan supaya melaksanakan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2021 (Akta 446) mengikut keadaan tempatan, mencapai konsensus antara jabatan serta mengambil kira situasi sebenar dan kesukaran pelbagai tempat dan industri, supaya benar-benar membantu menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing dalam sektor ekonomi yang penting termasuk sektor pertanian.
Di samping menyambut baik rancangan kerajaan untuk mempercepatkan permohonan pekerja asing dan mewujudkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0, saya turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kerana memainkan peranan yang aktif dalam menjadi pengantara dengan pelbagai jabatan supaya menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing dalam pelbagai sektor ekonomi penting secara beransur-ansur. Walau bagaimanapun, saya juga ingin menyeru semua unit kerajaan dan kerajaan tempatan untuk menjalankan kajian berdasarkan keadaan sebenar pelbagai industri dan tempat dan mencapai konsensus merentas jabatan. Untuk melaksanakan Akta 446, pihak kerajaan tidak boleh menggunakan satu pendekatan yang sama untuk semua permohonan pensijilan penginapan pekerja tanpa mengira situasi dan kekangan fi tempat yang berbeza.
“Sebagai contoh, ramai pekebun di Cameron Highlands mempunyai rumah kediaman di kebun sayur. Oleh itu, mereka akan menempatkan pekerja asing mereka di rumah kebun tersebut, dan rumah kebun ini secara umumnya mempunyai kemudahan asas serta memenuhi syarat keselamatan asas. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan tempatan telah menggunakan standard penginapan pekerja bandar sebagai garis panduan tunggal dan mengarahkan pekebun Cameron Highlands untuk membina atau mengubah suai rumah kebun mengikut standard tersebut bagi mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC). Hal ini telah menyebabkan ramai pekebun Cameron Highlands tidak dapat memenuhi standard tersebut yang agak ketat, serta menghadapi masalah dalam permohonan pekerja asing.”
Keadaan geografi Cameron Highlands adalah agak istimewa, manakala majoriti pekebun Cameron Highlands merupakan pekebun kecil yang hanya mempunyai tanah pertanian yang hanya bersaix 2 hingga 3 ekar. Oleh itu, sekiranya pihak kerajaan mengarahkan para pekebun supaya memusnahkan struktur rumah asal untuk mendirikan penginapan baharu, ia adalah amat sukar untuk para pekebun kecil. Keadaan ini akan menyebabkan para pekebun kecil menanggung beban kewangan yang agak berat dan masalah kekurangan pekerja dalam sektor pertanian di Cameron Highlands semakin serius.
Selain sektor pertanian di Cameron Highlands, sektor pertanian dan perikanan di kawasan lain juga menghadapi masalah yang sama, di mana pihak kerajaan tempatan dan JTK mengarahkan para pekebun supaya mematuhi standard penginapan pekerja yang ketat. Dalam hal ini, pihak agensi kerajaan tidak menyesuaikan standard tersebut mengikut keadaan tempatan dan memberi fleksibiliti berdasarkan keadaan sebenar pekebun atau nelayan tempatan.
Oleh itu, saya menyeru kerajaan tempatan seperti Majlis Daerah Cameron Highlands supaya menyesuaikan standard tersebut mengikut keadaan tempatan dan membenarkan fleksibiliti dalam melaksanakan Akta 446. Tambahan pula, jabatan persekutuan seperti Jabatan Tenaga Kerja perlu memainkan peranan yang aktif untuk bekerjasama dengan kerajaan tempatan dan pelbagai agensi kerajaan berkenaan, termasuklah menjalankan kajian tempatan, supaya memahami kesulitan di pelbagai tempat yang berbeza serta mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memanfaatkan semua pihak.