Skip to content

Kos pengurusan harus dikurangkan dan diperuntukkan lebih kepada kos pembangunan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan Bajet 2016 dimana sebanyak RM267.2 bilion diperuntukkan berbanding RM260.7 bilion ringgit pada Bajet 2015.

Apa yang menarik perhatian saya, sebanyak 80.5% bajet diperuntukan kepada kos pengurusan berbanding sekitar 19.5% sahaja kepada kos pembangunan. Ini bermakna, kerajaan menumpukan RM215.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan hanya RM52 bilion sahaja bagi pembangunan. Kos pengurusan terlalu tinggi.

Apa yang berlaku hampir serupa dengan Bajet 2015 dimana kerajaan memperuntukan hampir 80% kepada belanja pengurusan. Kerajaan dilihat sekali lagi gagal memahami aspirasi rakyat untuk pembangunan yang lebih mapan terutamanya di kawasan pedalaman mahupun pinggir bandar. Sepatutnya peruntukan pembangunan perlu ditingkatkan dengan mengurangkan kos pengurusan.

Saya melihat wujud peningkatan perbelanjaan pengurusan sebanyak RM8.2 bilion berbanding Bajet 2015. Belanja pengurusan yang tinggi menunjukkan peningkatan kos operasi dalam negara yang semakin meningkat yang juga memanifestasikan peningkatan harga barangan atau perkhidmatan.

Peningkatan harga barangan atau perkhidmatan ini juga dipengaruhi oleh kelemahan pengurusan ekonomi negara akibat ketirisan dan rasuah.

Saya percaya kos pengurusan boleh dikurangkan dan diperuntukkan lebih kepada kos pembangunan jika kerajaan komited terhadap pencegahan rasuah dengan memastikan segala perbelanjaan awam dijalankan mengikut prosedur dan telus.

Persoalannya, adakah kerajaan komited untuk mencegah rasuah sedangkan persoalan terbesar mengenai ‘derma’ RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri dan skandal 1MDB menunjukkan mereka kurang berminat untuk menyelesaikannya.