Skip to content

Kos purata untuk memperbaiki sekolah daif melonjak sebanyak 2.7 kali ganda kalau berbanding dengan RMKe-11, apa sebabnya?

Semasa pembentangan RMKe-12, YAB Perdana Menteri menyebut dalam ucapan beliau pada 27hb September 2021 bahawa RM1.6 bilion telah diperuntukkan bagi mengganti 148 bangunan daif dalam sekolah.

Dalam jawapan bertulis Menteri Pendidikan kepada saya, Menteri Pendidikan menyatakan bahawa dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), iaitu bagi tahun 2016 hingga tahun 2020, sejumlah RM3.055 bilion telah diluluskan untuk projek naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif bagi 773 buah sekolah di seluruh negara.

Daripada keseluruhan peruntukan tersebut, sejumlah RM415 juta adalah untuk menaik taraf dan membangun semula 245 buah sekolah yang mempunyai bangunan daif di Semenanjung Malaysia.

Sejumlah RM1.388 bilion adalah untuk menaik taraf dan membangun semula 291 buah sekolah di Sarawak manakala RM1.252 bilion adalah untuk menaik taraf dan membangun semula 237 buah sekolah di Sabah.

Menurut data yang dibekalkan sebelum ini, pada tahun 2017, kos untuk memperbaiki 30 buah sekolah daif adalah RM93.3 juta, atau RM3.1 juta secara purata.

Bagi tahun 2018, 116 buah sekolah daif telah diperbaiki dengan RM416.6 juta, atau RM3.6 juta secara purata.

Bagi 2019, 32 buah sekolah daif telah dibina semula dengan RM100 juta, kos purata adalah RM3.1 juta.

Adalah amat jelas bahawa kos untuk memperbaiki sekolah daif melonjak secara mendadak dalam RMKe-12. Kalau berbanding kos purata di bawah RMKe-11, kos purata telah melonjak sebanyak 2.7 kali ganda.

YAB Perdana Menteri, Menteri Kerja Raya dan Menteri Kanan Pendidikan harus memberi penjelasan kenapa kos purata bagi mengganti bangunan daif melonjak secara mendadak.

Di bawah RMKe-12, RM400 bilion telah diperuntukkan untuk pembangunan. Kerajaan harus bersikap bertanggungjawab dalam membelanjakan dana awam serta memastikan RM400 bilion ini diurus dengan sebaiknya dan telus.

Oleh yang demikian, saya menggesa KKR dan KPM untuk memberi senarai 146 bangunan daif yang telah disenaraikan dan juga skop kerja berkenaan untuk penelitian orang ramai supaya orang ramai boleh meneliti secara kendiri samada peningkatan kos itu adalah munasabah dan tiada unsur “Mark up”.