Skip to content

Koyak Pro Max

Selepas penggulungan, baru saya terbaca berita bahawa Ketua Pembangkang DUN Perak suruh saya minta maaf dan tarik balik kenyataan media saya yang memaparkan gambarnya, dan gertak bahawa akan ambil tindakan perundangan sekiranya tidak menuruti kehendaknya.

Walaupun kemungkinannya Pak Teh kurang mempunyai pengetahuan am dan terlalu mudah koyak, namun sebagai ahli politik, saya rasa ada kewajipan untuk berkongsi serba sedikit dengannya.

Lumrahnya Malaysia adalah negara demokrasi, bukannya bersistem diktator. Semua pun ada kebebasan bersuara dan berekspresi.

Sebagai ahli politik, kenalah menerima teguran daripada pelbagai pihak dengan tidak mengira latar belakang politik.

Pak Teh mungkin tidak begitu celik dengan proses demokrasi seantero dunia, saya cadangkan gunakan kaedah “Google” untuk memperbaiki bab ini.

Tidak kiranya Amerika Syarikat, Eropah, Jepun atau Taiwan yang pernah melalui proses mendemokrasikan kawasannya, sesungguhnya telah wujud pelbagai bentuk perjuangan dalam pada itu, seperti himpunan, hartal dan demonstrasi.

Dalam kalangan semua kaedah tersebut, cara sindir melalui gambar, komik mahupun karikatur adalah cara berekspresi yang paling harmoni dalam sistem demokrasi.

Kalau tengok balik seluruh dunia, tidak kiranya mana-mana pun, akan kelihatan kewujudan ahli politik, gerakan sivil, dan penggiat seni menggunakan pen mahupun teknologi AI untuk mencabar keadaan sedia ada terutamanya menyindir ahli politik yang sombong dan kurang berpengetahuan awam.

Tamsilnya, gambar berbentuk sindiran telah berkembang luas di negara British sejak abad ke-18 dan merancakkan lagi budaya pembacaan surat khabar, journal & booklet dalam pada itu dan menatijahkan ramai prihatin terhadap perkembangan politik.

Sehinggalah akhir abad ke-19, pun terdapatnya banyak pelukis komik/karikatur/gambar di sekitar Amerika Syarikat seperti Thomas Nast yang terkenal dengan caranya yang mendedahkan muka sebenar ahli politik.

Sampailah ke negara-negara Asia, pun adanya banyak gambar sindiran terhadap ahli politik, tanah air kita pun ada tokoh sedemikian seperti Zunar mahupun Fahmi Reza yang selalu menyindir semua pihak tanpa mengira latar belakang politik.

PH pun selalu kena, tak koyak pun.

Tanpa semua ini, mana akan wujudnya suara yang berbeda dan mana akan suburnya kebebasan bersuara dan berekspresi di tanah air ini?

Saya tengok Pak Teh tidak dapat menerima diri sendiri daripada disindir, dan sakit hati terhadap gambar diri sendiri yang dijadikan bahan, malah minta rakan-rakan untuk marah sampai koyak, sehingga ugut nak ambil tindakan undang-undang dan minta campur tangan pihak berkuasa.

Tengoklah cara YB Anthony Loke memberikan maklum balas atas karikatur negatifnya yang jelas menampilkan ketenangan & malah berterima kasih kepada pihak yang mempromosikannya.

Cadangan saya kepada Pak Teh, mungkin lebih sesuai balik ke gua untuk menjalani kehidupan biasa dan menjauhkan diri daripada media sosial.

Saya berharap kesemua ahli politik dapat berbicara secara profesional, jangan sesekali kami menekan ruang kebebasan bersuara di negara kita.

Saya pun sarankan Pak Teh untuk memfokuskan urusan kawasan dan kemaslahatan penduduk, jangan koyak lagi disebabkan gambar sindiran.

Saya mohon juga untuk menghentikan amalan memfitnah dan minta maaf kemudian, jangan toksikkan arena politik negara kita, stop being cry babies.