Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus mempergiat promosi hasil durian daripada Malaysia dalam pelbagai bentuk ke pentas global. KPKM sentiasa menggalakkan pengusaha-pengusaha durian untuk mempelbagaikan hasil keluaran mereka bagi menjana pendapatan serta meningkatkan daya saing industri durian negara.
Selain daripada memberi fokus kepada pengeksportan buah durian segar dan sejuk beku, Kementerian ini juga turut memberi penekanan kepada penghasilan produk industri hiliran berasaskan durian yang luas di luar negara serta merancakkan industri pemprosesan makanan negara. Sehingga hari ini Malaysia turut mengeksport produk berasaskan durian seperti kek dan roll durian, wafer, roti, biskut dan coklat berperisa durian, ais krim durian.
Dalam hal ini, KPKM bersama-sama agensi di bawahnya sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa durian Malaysia yang dieksport keluar negara diiktiraf sebagai durian premium yang berkualiti tinggi dan memenuhi piawaian antarabangsa di sepanjang rantaian nilainya.
Berdasarkan rekod Jabatan Pertanian (DOA), sehingga bulan Mei 2023, sebanyak 44 fasiliti pemprosesan durian sejuk beku yang telah menerima kelulusan eksport dari General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 fasiliti pemprosesan untuk durian dalam bentuk ulas dan pes. Selain itu, 20 daripada 44 fasiliti pemprosesan tersebut diluluskan untuk eksport durian dalam bentuk biji.
Bagi memperkasakan pasaran durian Malaysia di luar negara dan meningkatkan kesedaran pengguna di peringkat antarabangsa, KPKM menerusi Pejabat Perwakilan Pertanian di luar negara bersama-sama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekuturan (FAMA) juga aktif menjalankan program-program promosi di luar negara termasuk menyertai pameran perdagangan dan menganjurkan program promosi durian. Pada tahun 2022, sebanyak 25 program promosi luar negara yang telah disertai atau dianjurkan di luar negara oleh KPKM bersama-sama agensi dibawahnya. Pada tahun 2023, sebanyak 38 program promosi yang dirancang untuk dilaksanakan oleh KPKM.
Berkenaan soalan YB Chow berkenaan perancangan mengeksport buah durian segar (fresh whole fruit) ke Negara China, KPKM bersama-sama DOA sedang dalam proses untuk berunding dengan pihak GACC di China untuk mendapatkan akses pasaran buah durian segar ke China, setelah berjaya untuk mendapatkan pasaran nangka segar ke China. Walaubagaimanapun, faktor ketahanan pada suhu bilik (shelf life) menjadi cabaran kepada Malaysia untuk mengekalkan tahap kesegaran dan kualiti buah durian yang dieksport.
Pengeksportan durian ke China dalam bentuk segar memerlukan buah durian dituai sebelum tempoh kematangan penuh bagi memastikan kulit buah durian tidak merekah apabila tiba di negara China.
Berbanding negara jiran, durian dari Malaysia dituai ketika buah mencapai kematangan dan luruh, menjadikan tempoh ketahanan buahnya lebih singkat dan sukar untuk diekport secara segar ke destinasi yang jauh seperti China. Oleh sebab itu, Malaysia menggunakan teknologi sejuk beku terkini cryogenic deep freezing supaya buah durian dapat mengekalkan kualiti dalam tempoh yang lama. Sekiranya Malaysia mendapat laluan pasaran durian segar ke China, pengusaha-pengusaha durian tempatan perlu bersedia dengan teknik penuaian buah yang dapat memanjangkan tempoh ketahanan buah pada suhu bilik.