Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini berjaya mencipta sejarah bila tapak pelupusan sisa pepejal seluas hampir 20 ekar berjaya ditukar wajah kepada taman rekreasi lestari sebagai usaha memulihara alam sekitar demi kesejahteraan rakyat.
Menteri KPKT Nga Kor Ming menyatakan bahawa inisiatif ini adalah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan aspek kemampanan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“ Hari ini KPKT telah berjaya mentransformasikan tapak pelupusan sisa pepejal yang telah ditutup di kawasan Felda Tenggara dengan selamat kepada taman rekreasi (lestari park) seluas 18.7 ekar di Bandar Tenggara,” kata beliau.
“Ini adalah antara fokus KPKT untuk memulihara alam sekitar serta mengurus sisa pepejal berbekalkan teknologi moden yg mampan dan efisien,” tambah beliau ketika mengadakan lawatan kerja sentuhan kasih KPKT ke Tapak Pelupusan sampah Bandar Tenggara bagi meninjau kemajuan projek transformasi itu pada hari ini.
“Dulu, tapak pelupusan ini berbau busuk dan tercemar. Ia menampung hampir 50 tan sisa pepejal setiap hari dan telah menyimpan lebih daripada 360,000 metrik tan sampah sejak tahun 1999,” kata Kor Ming.
“Tetapi kini dibawah kerajaan Madani, kami sedang dalam proses membina semula tapak pelupusan sisa pepejal ini supaya rakyat dapat bersenam dan beriadah di tempat ini, berkelah dengan keluarga, serta memupuk gaya hidup keluarga yg sihat,” tegas beliau.
Taman rekreasi yang bernilai kos RM23 juta tersebut adalah hasil ilham Menteri sendiri dan dilaksanakan secara usaha sama oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara bersama Jabatan Lanskap Negara. Ia akan dilengkapi dengan komponen landskap seperti 17,000 buah pokok renek, wakaf dan pergola, pagar, tandas, sudut informasi, dataran, laluan pejalan kaki (walkway), serta kincir angin (windmill) yang direka dengan rekabentuk yang menarik.
Selain itu, komponen pemulihan alam sekitar akan merangkumi kolam rawatan perairan (leachate treatment pond), sistem pengudaraan gas (gas ventilation system), dan kolam penahanan di tapak (on-site detention pond).
“Projek pembangunan tapak ini telah mencapai lebih daripada 90 peratus. Ia dijangka akan siap pada tahun 2025 sebelum tahun melawat Johor. “ tambah beliau.
Turut hadir hari ini adalah Ketua Pengarah JPSPN Datuk Dr Azhar bin Mohd, Ketua Pengarah Jabatan Lanskap negara KP Mansor, Ahli Parlimen Tenggara Mandzri Nasib, ketua-ketua jabatan dan pegawai majlis daerah Tenggara.