Skip to content

KPKT MENGEMUKAKAN 33 CADANGAN INISIATIF BELANJAWAN 2025 KEPADA KEMENTERIAN KEWANGAN BAGI MENINGKATKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengemukakan sebanyak 33 cadangan bernilai hampir RM1 billion kepada Kementerian Kewangan bagi Inisiatif Belanjawan 2025 seperti pembangunan 100 Taman Rekreasi MADANI, Deposit MADANI, transformasi kolam takungan, perjanjian jual beli elektronik, E-stamping dan lain-lain untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan transformasi digital dan aspirasi Malaysia Madani.

“Saya telah mengetuai delegasi KPKT mengunjungi Kementerian Kewangan dan kami telah mengemukakan 33 cadangan yang berimpak tinggi seperti pembangunan 100 Taman Rekreasi MADANI bagi Inisiatif Belanjawan 2025,” kata Menteri Nga Kor Ming dalam program wawancara Agenda Awani.

“KPKT menyasar untuk membangun 100 buah Taman Rekreasi MADANI yang dilengkapi dengan alat sukan dan trek jogging di kawasan perumahan supaya rakyat dapat mengurangkan stres dan menjadikan taman tersebut tempat beriadah sekeluarga dan mengamalkan gaya hidup yg sihat,” tambah beliau.

KPKT juga bercadang untuk mewujudkan inisiatif deposit MADANI di mana deposit dengan nilai maksimum RM30,000 akan diberi kepada pembeli rumah pertama selaras dengan dasar kerajaan “rumahku, syurgaku.”

“Ini adalah untuk meringankan komitmen bayaran bulanan pembeli rumah pertama, terutamanya golongan belia dalam kalangan B40 dan M40, serta merealisasikan aspirasi kementerian agar setiap rakyat memiliki tempat tinggal (Shelter for All),” tegas beliau.

Pada tahun ini, KPKT telah melaksanakan 12 inisiatif Belanjawan 2024, di mana sebanyak 10 daripada 12 inisiatif telah berjaya mencapai melebihi 80% daripada sasaran dalam tempoh 6 bulan saja. Antara inisiatif yang berjaya termasuk pemasangan 12,336 lampu jalan LED di kawasan PBT dan menaik taraf 1,000 tandas awam.

Dalam soal projek terbengkalai, Nga juga menyatakan bahawa KPKT telah berjaya memulihkan 704 buah projek sakit atau terbengkalai dengan jumlah nilai kasar RM58.94 bilion sejak Januari 2023 sekaligus membantu lebih 65,000 orang pembeli rumah memiliki kediaman yg diidamkan.

“Kami menyasarkan supaya tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang tahun 2030. KPKT akan meminda undang-undang supaya pemaju perumahan yang telah disabit kesalahan melakukan penipuan tidak akan dibenarkan keluar negara.

“Kami juga akan mewujudkan akaun escrow. Maksudnya, semua wang yang dibayar oleh pembeli akan digunakan khusus untuk projek tersebut sahaja. Kini, tanpa akaun escrow, pemaju boleh memindahkan wang dari Projek A ke Projek B sehingga Projek A menjadi projek terbengkalai. Selepas pindaan ini, perkara sedemikian tidak akan dibenarkan lagi.”

“Walau bagaimanapun, seramai 33 pemaju Malaysia telah berjaya dinobatkan sebagai pemenang emas di FIABCI World Prix d’Excellence Awards yang bertaraf antarabangsa. Kita perlu memastikan dalam sektor perumahan, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan,” katanya.