Skip to content

KPKT menyokong kenyataan PM dan Komited Menyediakan Lebih Banyak Rumah Mampu Milik untuk Rakyat Malaysia

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menegaskan komitmennya untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat Malaysia, susulan seruan Perdana Menteri untuk meningkatkan penyediaan perumahan mampu milik yg selesa di kawasan bandar.

“Kami bertekad untuk mencapai matlamat kami iaitu ‘Shelter for All.’

KPKT sedang berusaha gigih untuk meningkatkan ketersediaan rumah mampu milik, terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar,” kata Menteri Nga Kor Ming.

“Komitmen kami termasuk memastikan bahawa rumah-rumah ini bukan sahaja mampu milik tetapi juga berkualiti tinggi, selesa dan terletak di lokasi yang strategik,” tambahnya.

KPKT memperuntukkan hampir RM1 bilion setiap tahun untuk pelbagai inisiatif perumahan sosial.

Untuk tahun 2024, KPKT telah memperuntukkan RM546 juta untuk Program Perumahan Rakyat dan RM358 juta untuk Rumah Mesra Rakyat.

Selaras dengan RMK12, kerajaan komited untuk menyediakan 500,000 unit perumahan mampu milik kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. Inisiatif ini diterajui oleh agensi seperti SPNB dan PR1MA yang komited untuk membina sekurang-kurangnya 5,000 unit masing-masing setiap tahun.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Institut Kajian Khazanah pada tahun 2023 yg membabitkan 3,800 isi rumah di lima PPR, lebih daripada 60% responden telah menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan tahap keselesaan di PPR secara umum.

“Ini hanya langkah permulaan. Kami sedang berusaha untuk menjenama semula program PPR kepada Program Residensi Rakyat (PRR) dan memperkukuh inisiatif ini untuk memastikan ia bertaraf antarabangsa setanding dengan program perumahan sosial di negara maju seperti Singapura dan Jepun,” katanya.