Skip to content

KPM perlu jelas apakah rangka pelan tindakan bantu pelajar SPM terjejas dengan banjir dengan kadar segera

Banjir di sekitar kawasan negeri Terengganu, Kelantan, Selangor dan Sabah melibatkan seramai 25,598 mangsa. Kebanyakan mereka telah selamat dipindahkan ke 186 Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Walau bagaimanapun, saya ingin ketengahkan isu yang daripada jumlah mangsa banjir itu terdapat juga pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang bakal berdepan dengan Ujian Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Terdapat 407,907 calon yang akan menduduki ujian SPM pada tanggal 2 Mac 2022 iaitu hari esok. Ia masih belum diketahui berapa jumlah pelajar SPM yang terkesan dengan banjir dan berapa jumlah sekolah menengah yang telah terjejas oleh banjir. Seiring dengan itu, Menteri Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin telah mengesyorkan yang pihaknya sudah merangka pelan tindakan bagi semua pelajar SPM yang terjejas akan tetapi belum memberi perincian tentang apa sebenarnya pelan tindakan tersebut.

Saya ingin menggesa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk bertindak pantas, keluarkan pelan tindakan dengan kadar segera supaya ibu bapa dan pelajar yang terjejas dapat tahu apa langkah seterusnya. Ini juga supaya pelajar dapat menjawab peperiksaan dengan selesa dan mudah, dan tidak terumbang-ambing kerana tidak tahu jika pusat peperiksaan dipindahkan ke sekolah lain.

Dalam masa yang sama, saya juga simpati dengan keadaan mental yang dihadapi oleh pelajar-pelajar tersebut, dengan paras air hujan yang meningkat di rumah, terpaksa berpindah ke PPS dan apa pula terjadi dengan bahan-bahan sekolah dan pakaian mereka? Jika ada yang rosak, adakah pihak kementerian akan memberi kelonggaran peraturan atau menggantikan dengan yang baru?

Memandangkan ujian SPM bermula esok, saya menuntut pihak KPM untuk beri tindak balas terhadap situasi ini dengan cepat. Saya juga ambil maklum terdapat 233 pelajar SPM yang telah dipindahkan ke 3 sekolah baru di Kuala Terengganu. Ini oleh kerana tindakan pantas oleh peringkat tempatan di mana Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) yang bekerjasama untuk memindahkan pelajar-pelajar tersebut. Jadi saya harap Kerajaan Persekutuan tidak leka dengan alasan tidak berkebolehan atau tidak cukup pusat oleh kerana sudah terang yang dari peringkat tempatan mereka mampu lakukannya. Jadi, saya menyeru pihak kementerian ambil contoh ini dan tingkatkan usaha untuk menyatakan apa tindakan seterusnya dan jika perlu, untuk memindahkan pelajar-pelajar ke pusat peperiksaan yang baru.