Skip to content

Kredibiliti Bloomberg tercalar apabila seorang yang dikatakan “ahli ekonomi” daripada UBS tidak boleh membezakan antara defisit fiskal dan defisit akaun semasa diundang untuk memberikan pandangan tentang Malaysia

Di dalam sebuah temu ramah Bloomberg yang disiarkan pada 11 April dan disampaikan oleh David Ingles, saya hanya mampu geleng kepala penuh kehairanan apabila tamu undangan mereka, Kelvin Tay daripada UBS Global Wealth Management melontarkan pandangan-pandangan yang terlampau negatif tentang Malaysia berdasarkan fakta-fakta yang salah dan begitu berat sebelah.

Lebihan akaun semasa

Pertama sekali, Tay berhujah bahawa Malaysia mempunya defisit akaun semasa. Ini sangatlah membimbangkan kerana Malaysia telah selama ini berbangga bahawa ia sebuah ekonomi yang mempunyai lebihan akaun semasa, di mana nilai eksport kita melebihi import sebagai salah satu kelebihan utama negara. Mana-mana penganalisis yang berkebolehan dalam meneliti Malaysia sudah tentu tahu akan hal ini.

Sebagai contoh, pada tahun 2018, Malaysia mencatatkan lebihan akaun semasa pada 2.3% daripada KDNK. Memandangkan paras lebihan dagangan Malaysia berada pada paras yang baik sehingga kini, negara akan kekal mempunyai lebihan akaun semasa untuk tahun 2019.

Walau bagaimanapun, Malaysia sememangnya mempunyai defisit fiskal sederhana, yang lazim untuk mana-mana negara membangun. Pada tahun 2018, ia pada kadar 3.7% daripada KDNK, manakala untuk tahun ini ia dijangka berkurang kepada 3.4%. Menteri Kewangan juga menjangkakan defisit fiskal akan terus berkurang kepada 3.0% pada tahun 2020 dan kurang daripada 2.8% pada tahun 2021.

Malaysia mempunyai ekonomi yang pelbagai

Tay juga menyatakan bahawa hasil daripada sumber minyak merupakan 30% daripada KDNK Malaysia.

Ini merupakan fakta yang salah. Malaysia dikenali umum oleh agensi penarafan kredit dan komuniti pelaburan sebagai negara yang mempunyai ekonomi yang berkepelbagaian di mana sektor perlombongan (termasuk sektor minyak dan gas asli), pembuatan, dan perkhidmatan menyumbang sebanyak 7.9%, 23.0%, dan 55.5% masing-masing kepada KDNK tahun 2018.

Ada kemungkinan Tay cuba menyampaikan jangkaan bahawa hasil daripada gas asli dan minyak menyumbang sekitar 30.9% daripada hasil kerajaan untuk tahun 2019. Meskipun begitu, pengurus dana UBS tersebut gagal untuk menyatakan bahawa keseluruhan sumbangan daripada hasil minyak dan gas asli dijangka hanya 22.0% , apabila dividen khas “one-off” daripada Petronas dikeluarkan daripada jumlah keseluruhan.

Seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam ucapan Belanjawan beliau, dividen khas “one-off” sebanyak RM30 Bilion ditawarkan oleh Petronas dengan niat khusus untuk membuat bayaran balik cukai pendapatan dan GST sebanyak RM37 Bilion yang disorok dan tidak dinyatakan oleh rejim terdahulu.

Malahan, hasil daripada sumber minyak dan gas asli sebagai pecahan daripada jumlah keseluruhan hasil Kerajaan telah berkurangan dari tahun ke tahun, daripada paras tertinggi 44% pada tahun 2008.

Sasaran defisit fiskal kekal, dengan polisi pro-pembangunan yang ditetapkan

Akibat kekeliruan pemahaman Tay tentang ekonomi Malaysia seperti yang dijelaskan di atas, beliau seterusnya menyimpulkan bahawa paras harga rendah minyak mentah Brent – sekitar USD$71 se-tong pada waktu ini – akan memberikan kesan negatif kepada pembangunan Malaysia memandangkan Kerajaan meletakkan jangkaan harga purata minyak Brent pada $70 se-tong pada tahun ini.

Tay gagal mengakui hakikat bahawa untuk tiap-tiap pengurangan sebanyak USD$1 dalam harga minyak mentah, ia hanya memberi kesan sebanyak kira-kira RM300 Juta daripada hasil kerajaan, dan oleh kerana itu, sekiranya harga jatuh sebanyak $10 sekalipun, impak sepenuhnya kepada hasil hanya RM3 bilion.

Sebarang kesan negatif terhadap hasil kerajaan disebabkan oleh harga minyak yang rendah ditampung oleh sumber-sumber hasil baharu seperti diumumkan Menteri Kewangan dalam ucapan Belanjawan, yang tidak termasuk dalam perangkaan belanjawan rasmi Kerajaan. Sumber-sumber baharu ini dijangka dapat mengumpulkan sebanyak RM4 ke RM5 bilion hasil tambahan untuk Kerajaan.

Kerajaan mengawal hampir dua pertiga kerusi di Parlimen

Akhir sekali, Tay membuat dakwaan terdapat kelumpuhan politik dalam negara ini. Ini tidak benar. Sebaliknya, ramai sudah tentu bersetuju Malaysia telah dilumpuhkan oleh krisis 1MDB sebelum perubahan Kerajaan pada Mei 2018.

Akan tetapi, dengan perubahan Kerajaan, Malaysia kini menerima sebuah semangat pembaharuan yang segar, di mana Kerajaan bersungguh-sungguh dalam usaha menjadi lebih telus, mengadakan pentadbiran yang lebih baik, mengurangkan korupsi dan meningkatkan persaingan. Reformasi-reformasi ini sukar dilakukan, dan akan menimbulkan rintangan jangka pendek dan mengambil masa untuk membuahkan hasil. Namun begitu, iltizam pentadbiran baharu ini untuk menjalankan reformasi akan mengukuhkan asas-asas negara ini untuk mencipta perkembangan ekonomi secara berterusan apabila ekonomi global pulih semula.

Kerajaan baharu ini mempunyai majoriti besar di Parlimen, dan mengawal 63% daripada kerusi di Dewan Rakyat di Parlimen. Hakikat bahawa Kerajaan Malaysia telah berjaya merunding semula kos beberapa projek infrastruktur besar berprofil tinggi membuktikan ketidakwujudan kelumpuhan seperti yang dikatakan. Malah, Kerajaan akan teruskan usaha untuk melakukan reformasi institusi seperti yang dijanjikan kepada rakyat Malaysia.

Tolong Gunakan Fakta

Bloomberg merupakan sebuah gergasi media antarabangsa dengan ikutan dan audiens yang besar. Temu ramah ‘sensasi’ Tay bersama Bloomberg telah ditularkan secara meluas di media sosial dan memberikan tanggapan yang sangat negatif terhadap Malaysia.

Saya juga ingin menyatakan bahawa kami mengalu-alukan kritikan berasaskan fakta dan pandangan konstruktif. Malaysia, seperti mana-mana negara, tidak sempurna dan sedang berusaha sedaya-upaya untuk pulih daripada kerosakan yang disebabkan pentadbiran kleptokrat yang terdahulu.

Bloomberg, dengan pengaruh yang ada, mempunyai tanggungjawab untuk memeriksa fakta dan maklumat yang disampaikan tetamu mereka, lebih-lebih lagi apabila kesalahan yang dilakukan begitu mudah. Jika maklumat itu terang-terangan palsu dan merosakkan, ia harus diperbetulkan.