Skip to content

KRITIK PAS BUKAN ISLAMOFOBIA

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, cuba menggambarkan kritikan terhadap PAS sebagai serangan terhadap Islam. Hujah ini lemah dan berbahaya.

Islam ialah agama. PAS ialah parti politik. Seperti parti lain, dasar, rekod dan kepimpinan PAS mesti boleh dikritik, dipersoalkan dan ditolak oleh rakyat.

Malah, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, sendiri menegaskan bahawa PAS tidak pernah mendakwa parti itu ialah Islam secara mutlak. Beliau juga berkata perbezaan politik perlu dihujahkan berdasarkan dasar, tadbir urus, ekonomi dan pentadbiran.

Jadi, mengapa Abdul Hadi mahu melabel kritikan terhadap PAS sebagai Islamofobia?

Dakwaan beliau bahawa istilah “Gelombang Hijau” pertama kali digunakan oleh pemimpin DAP selepas PRU15 juga bercanggah dengan rekod PAS sendiri.

Pada April 2018, Abdul Hadi berucap dalam program PAS bernama “Gelombang Hijau Perak PRU14”. Pada 3 Mei 2018, Harakahdaily pula menerbitkan artikel bertajuk “PRU14: Gelombang Hijau berlaku di Terengganu”.

Ini berlaku lebih empat tahun sebelum PRU15. Ini soal fakta, bukan tafsiran.

Lebih membimbangkan, artikel Abdul Hadi sendiri menggunakan bahasa seperti “pendatang yang diimport” yang memisahkan rakyat.

Perbezaan politik mesti dijawab dengan fakta dan hujah, bukan dengan melabel pengkritik sebagai musuh agama.

PAS tidak boleh menggunakan agama sebagai perisai daripada kritikan politik. Tiada mana-mana parti berhak menganggap kritikan terhadapnya sebagai kritikan terhadap Islam.