Skip to content

Kuala Lumpur boleh mempertimbangkan untuk menghalang warga asing daripada menjadi tukang masak di gerai-gerai

Langkah kerajaan negeri Pulau Pinang menghalang warga asing daripada menjadi tukang masak di gerai-gerai nampaknya menerima majoriti reaksi yang baik daripada pelbagai pihak.

Barangkali ibu kota Kuala Lumpur turut boleh mempertimbangkan untuk melakukan perkara yang serupa.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong yang menjaga hal ehwal persatuan dan kebajikan penjaja sewajarnya mendapatkan maklumbalas di kalangan peniaga berlesen, pengunjung gerai dan pelancong sama ada mereka bersetuju supaya warga asing tidak dibenarkan menjadi tukang masak di gerai-gerai penjaja sekitar Kuala Lumpur.

Peraturan sebegini bertujuan untuk mengekalkan kualiti makanan tempatan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang budaya dan kaum, tanpa perlu meminjam tukang masak asing; selain memastikan kebersihan dan kesihatan makanan gerai memandangkan tukang masak tempatan disyaratkan mengambil suntikan kesihatan secara berkala.

Pihak berkuasa malah sebenarnya tidak memberikan permit untuk membenarkan warga asing bekerja sebagai tukang masak di gerai penjaja. Lebih merisaukan lagi, ada di kalangan mereka yang menetap di dalam negara tanpa sebarang dokumen sah; justeru sukar untuk dijejak dan diuruskan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini di tempat kerja.

Pastinya ini tidak bertujuan mendiskriminasi warga asing mahupun menghalang mereka daripada mencari rezeki. Namun adalah penting untuk memastikan hak lesen penjaja tidak disalahguna dan hak pengguna terlindung. Untuk itu adalah baik sekiranya suatu kaji selidik dijalankan untuk mengetahui sama ada langkah tersebut akan disambut baik oleh penjaja, pengunjung gerai dan pelancong.