Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Dato’ Seri Jamal Yunos wajib membuat laporan SPRM jika kenyataan beliau yang menyatakan bahawa setiap premis judi haram atau yang berselindung di sebalik lesen hiburan memperuntukkan RM20,000 setiap bulan untuk merasuah pihak-pihak tertentu adalah berasas. Ini merupakan sesuatu yang tidak boleh di terima dan tindakan tegas perlu di ambil terhadap mereka yang terbabit.
Selain daripada itu, saya ingin mengingatkan Jamal, adalah tidak adil bagi beliau hanya menuding jari pada kerajaan negeri dalam isu premis judi haram. Adalah nyata pihak polis merupakan satu-satunya yang mempunyai kuasa yang paling besar untuk menangani masalah berkenaan dan pengusaha-pengusaha premis judi haram hanya takut pada pihak polis. Ini adalah kerana menurut undang-undang, pihak berkuasa tempatan hanya boleh mengambil tindakan terhadap mereka mengikut Undang-undang Kecil Lesen dimana hukuman tertinggi adalah denda RM2000 jika disabit kesalahan. Memang benar pihak berkuasa tempatan berkuasa untuk menyita premis dan segala peralatan dan mesin berkenaan tetapi apa yang mengecewakan adalah, pengusaha boleh menuntut semula peralatan yang di sita dengan membayar kompaun sebanyak RM1000 sahaja. Ini bukannya semata-mata masalah meminda undang-undang kecil kerana segala penggubalan ataupun pindaan undang-undang kecil adalah tertakluk pada undang-undang pihak berkuasa negeri dan persekutuan.
Jika dibandingkan dengan kuasa polis di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, hukuman kepada pemilik premis adalah setinggi RM10,000 bagi setiap mesin atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 4B (a). Selain daripada itu, mengikut Seksyen 7(2) akta yang sama, pemain judi pula boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000 jika disabit kesalahan. Tambahan lagi, jelas ia terbukti bahawa kewujudan premis mesin judi menurun dengan drastik apabila pihak polis menggempur habis-habisan pada tahun 2014 ketika Ketua Polis Negara mengarahkan semua Ketua Balai Polis menandatangani Aku Janji Pembanterasan Kegiatan Judi. Menurut aku janji tersebut, sesiapa Ketua Balai Polis yang gagal dalam misi ini akan ditukarkan ke kawasan lain dalam masa 24 jam.
Jamal jangan semata-mata mahu bermain politik dengan isu premis judi haram. Beliau harus membuat semakan sebelum membuat tuduhan. Pembanterasan kegiatan mesin judi sepatutnya merupakan tanggungjawab bersama semua pihak termasuk pihak polis, pihak berkuasa tempatan, masyarakat tempatan dan syarikat utiliti.