Penemuan kubur besar pelarian di Perlis dan penahanan 12 orang anggota polis dalam kes tersebut membuktikan bahawa Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) perlu ditubuhkan segera.
Kewujudan aktiviti pemerdagangan orang berleluasa bukan perkara baru
Isu penyeludupan dan pemerdagangan orang di Malaysia bukan perkara baru. Daripada tahun 2007 sehingga 2014, sudah tiga (3) kali Malaysia dikategorikan dalam kedudukan Tier 3 dalam Laporan Pemerdagangan Orang Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Tenaganita telah lama mengemukakan laporan tentang aktiviti pemerdagangan manusia dan juga kem-kem pelarian seperti di Perlis. Malah, Tenaganita juga mendakwa kewujudan kem-kem yang sama di negeri Perlis, Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang. (Sumber: http://www.therakyatpost.com/news/2015/05/28/tenaganita-human-trafficking-camps-exist-in-several-states/)
Laporan tentang penglibatan “orang dalam” juga bukan perkara baru
Pada tahun 2009, laporan Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat Amerika Syarikat menyatakan bahawa terdapat bukti bahawa “orang dalam” yang merupakan “pegawai kerajaan Malaysia” terbabit dalam sindiket penyeludupan dan pemerdagangan orang di Malaysia. Laporan tersebut mendefinasikan “pegawai kerajaan Malaysia” sebagai merangkumi “pegawai RELA, imigresen dan/atau polis” (http://www.gpo.gov/fdsys/pkg/CPRT-111SPRT48323/html/CPRT-111SPRT48323.htm)
Ini sekali disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim yang dipetik oleh media pada 13 Mei 2015 sebagai berkata bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan penglibatan “orang dalam” dalam rangkaian sindiket tersebut di sempadan Malaysia-Thailand. (Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/50565)
Kini dengan penahanan 12 orang pegawai polis dalam kes kubur besar di Perlis mengesahkan semua dakwaan selama ini.
Daripada laporan-laporan yang diterbitkan, saya bersetuju dengan pandangan Datuk Ambiga Sreenevasan bahawa penahanan 12 orang anggota polis ini bukan cerita sepenuhnya dan sudah tentu ada rangkaian “orang dalam” yang lebih meluas dalam aktiviti sebesar ini. (Sumber: http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/ambiga-demands-international-commission-on-perlis-mass-graves)
Sepuluh tahun selepas Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin, kerajaan masih enggan laksana pembaharuan PDRM
Rancangan Malaysia ke-11 mensasarkan untuk mewujudkan persekitaran hidup yang lebih selamat untuk masyarakat yang berdaya maju dan sejahtera melalui empat (4) strategi melawan jenayah, tetapi langsung tidak menyebut tentang akauntabeliti dan ketelusan PDRM.
Tahun ini merupakan tahun ke-sepuluh laporan Suruhanjaya Diraja Polis Tun Dzaiddin diterbitkan. Laporan tersebut merangkumi pelbagai saranan untuk pembaharuan PDRM, termasuklah penubuhan IPCMC. Ini sebagai langkah untuk mengembalikan imej polis sebagai badan penguatkuasa yang bebas, profesional dan telus.
Keengganan kerajaan menjadi tanda tanya apabila kes-kes salahguna kuasa polis seperti kematian dalam tahanan, penglibatan anggota polis dalam kegiatan jenayah seperti rasuah, rogol, ugut dan juga dalam sindiket pemerdagangan orang menyebabkan berlakunya krisis keyakinan terhadap PDRM di kalangan orang awam.
Justeru, saya menggesa agar peristiwa kubur besar pelarian ini dijadikan asas untuk segera menubuhkan IPCMC bagi mengembalikan maruah PDRM yang sekian lama tercemar oleh sikap segolongan anggota polis yang tidak bertanggungjawab.