Skip to content

Kuil Sri Subramanir Alayam Tanah Rata, Cameron Highlands terima peruntukan RM218K daripada KPKT: Kerajaan pertahankan kepelbagaian budaya Malaysia

Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana telah meluluskan RM218,000 peruntukan kepada Kuil Sri Subramanir Alayam yang amat bersejarah di Cameron Highlands untuk tujuan penaiktarafan dan penyelenggaraan kuil. Pencapaian ini adalah bukti kerajaan perpaduan serta KPKT komited untuk mempertahankan kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia yang merupakan kebanggaan dan kekuatan seluruh rakyat.

Kerajaan Perpaduan telah memperuntukkan RM50 Juta kepada rumah ibadat bukan islam seluruh negara pada tahun 2023 dan dikendalikan oleh KPKT. Pada bulan lepas, Jawatankuasa Kuil Sri Subramanir Alayam bersama saya telah menandatangani perjanjian pembiayaan peruntukan sebanyak RM218,000.00 di bangunan KPKT, Putrajaya. Selepas peruntukan diluluskan, projek penyelenggaraan dan penaiktarafan kuil telah bermula dan kini hampir selesai.

Ribuan terima kasih saya rakamkan kepada Menteri KPKT YB Nga Kor Ming serta setiausaha politik menteri En. Chiong Yoke Kong yang banyak membantu dalam proses permohonan dan meluluskan peruntukan hampeir berjumlah RM22K kepada Kuil Sri Subramanir Alayam. Usaha murni dan sokongan kerajaan kepada semua rumah ibadat amat bermakna dan merupakan testimoni bahawa Kerajaan Perpaduan giat mempertahankan kepelbagaian budaya Malaysia berlandaskan konsep dan semangat “Malaysia Madani”.

Banyak kuil dan rumah ibadat adalah tempat suci kepada para penganut turun-temurun, namun sesetangah daripada itu telah usang dan memerlukan sumber kewangan untuk tujuan penyelenggaraan. Maka, peruntukan sebanyak RM218K akan membantu Kuil Sri Subramanir Alayam Tanah Rata untuk membiayai kerja menaiktaraf bumbung, kerja kalis air dan saliran, kerja mengecat semula dan sebagainya.

Selain itu, Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM50 Juta sekali lagi kepada rumah ibadat bukan Islam dalam Belanjawan 2024. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan terus komited untuk menjaga kepelbagaian budaya dan agama, mementingkan kesejahteraan semua rakyat tanpa mengira kaum, dan merealisasikan visi “Malaysia Madani” melalui pelbagai usaha dan inisiatif yang bukan hanya retorik tetapi juga dasar yang bermakna dan memanfaatkan semua lapisan masyarakat.