Skip to content

Kuman Di Seberang Laut Nampak, Gajah Di Depan Mata Tak Nampak

Sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Azmin Ali seyogia meneliti sebab partinya pun ditolak sepenuhnya oleh rakyat Sabah pada PRN yang lepas.

Tak pasti sama ada Azmin Ali berkempen di Sabah khususnya Sandakan atau tidak lantaran mungkin ada kenangan tertentu di situ.

Atau sebenarnya Azmin Ali mengetahui dengan jelas bahawa sebab utama kekalahan 41 kerusi adalah berpunca daripada tindakannya yang memecahbelahkan BERSATU?

Selepas DAP kalah di kerusi-kerusi yang ditandingi, pimpinan DAP tidak pernah menyalahkan rakyat, dan segera menggerakkan semua untuk bermesyuarat demi menilai sebab kekalahan dan malah beriltizam untuk menyegerakan agenda reformasi dalam enam bulan yang akan datang.

Setiausaha Agung DAP, sdr Anthony Loke juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan parti, berbeza dengan pimpinan parti huru-hara yang tidak kelihatan presidennya sehingga hari ini.

Akar umbi DAP bertekad dan berdiri bersama dengan pimpinan parti dalam keadaan sebegini.

DAP akan bermuhasabah dan meneruskan segala gerak kerja dalam kerangka kerajaan persekutuan dan negeri masing-masing untuk terus mengekalkan sokongan masyarakat berbilang kaum yang merangkumi peniaga Cina.

Berbeza dengan parti huru-hara yang hanya tinggal nama BERSATU tetapi tidak bersatu pun, 20 Bahagian BERSATU di Sabah telah mendesak peletakan jawatan Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin.

Tidak lupa juga insiden beratus-ratus Ketua Bahagian BERSATU yang menandatangani surat akuan yang mendesak Muhyiddin Yassin untuk mengundur.

Penampilan BERSATU selepas PRN Sabah – tiada “post mortem” dan tiada tindakan susulan, yang ada hanyalah menjerit-jerit DAP dan terus berhuru-hara.

Jangan sibuk cari kuman di seberang laut, Azmin Ali harus telitikan apakah sebabnya 36 kerusi hilang deposit.

Kepada PAS yang tengok di sebelah, jangan angkuh.

Semua tahu ADUN tunggal tersebut adalah meminjam kapasiti parti sahaja, bukannya menang atas kekuatan parti.

Jagalah ADUN tunggal yang hanya pakai baju PN untuk bertanding agar tidak melompat nanti.