Skip to content

Kumpulan konservatif dalam PAS membelakangi semangat dan setiakawan rakan-rakan mereka di dalam PAS serta muafakat Pakatan Rakyat

Hari ini merupakan ulang tahun ke-49 Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang telah berjuang bersama-sama rakyat khususnya golongan tertindas dan terpinggir demi menegakkan keadilan bagi semua pihak.

Namun pada hari ulangtahun ke-49 ini DAP dihadiahkan dengan sikap angkuh dan sombong segelintir golongan konservatif di dalam PAS yang bertindak membelakangi muafakat Pakatan Rakyat yang telah dimeterai lebih lapan tahun lalu.

Kami amat kecewa dengan tindakan tersebut yang dibuat secara sangat tergesa-gesa tanpa usaha untuk menyelesaikan perbezaan pendapat tersebut secara kolektif dalam pimpinan PR Pusat.

Kami yakin, pembentangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang dibentangkan di Dewan negeri Kelantan pada hari ini, adalah suatu permainan politik semata-mata, bukan untuk keperluan dan kepentingan rakyat mahupun penekanan ajaran Islam yang bijak dan syumul.

Justeru itu, kami mencabar UMNO dan semua parti komponen Barisan Nasional untuk menyokong pelaksanaan hudud oleh kumpulan konservatif dalam PAS ini.

Namun kami yakin bahawa parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain dari Sabah dan Sarawak tidak akan sanggup membantahnya kerana mereka telah tunduk kepada kumpulan ekstremis yang sedang mengusai UMNO.

Kami Pemuda DAP (DAPSY) kekal dengan pendirian bahawa perlaksanaan hudud adalah bertentangan dengan asas-asas pembinaan negara yang digariskan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kami juga akan mengadakan mesyuarakat Majlis Eksekutif DAPSY dalam waktu terdekat untuk mengkaji semula kerjasama antara DAPSY dan Dewan Pemuda Pas Pusat.