Skip to content

KUNJUNGAN HORMAT TIMBALAN MENTERI KPK KE KETUA MENTERI SABAH PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK DALAM SEKTOR AGRIKOMODITI NEGARA

1. Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin serta delegasi telah mengadakan satu kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Pejabat Ketua Menteri, Menara Kinabalu pada Selasa lalu, 27hb Mei 2025.

2. Kunjungan hormat ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dengan Kerajaan Negeri Sabah, khususnya dalam sektor agrikomoditi. Perbincangan turut menumpukan kepada usaha mempertingkat produktiviti dan memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar-dasar berkaitan agrikomoditi.

3. Sabah merupakan pengeluar utama minyak sawit mentah (MSM) di Malaysia, selain menjadi antara negeri pengeluar koko yang terpenting. Antara isu utama yang telah dibincangkan:

i) Peningkatan Kadar Tanam Semula bagi Pekebun Kecil Sawit:

Kemudahan proses dalam pengesahan status pemilikan tanah di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri akan memanfaatkan para pekebun kecil sawit melalui Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) agar pengeluaran sawit di Sabah kekal berdaya saing.

ii) Pelaksanaan Sistem Pendataan Digital Warga Asing Sabah:

Pelaksanaan sistem ini bagi sektor sawit merupakan langkah penting ke arah pengurusan tenaga kerja asing yang lebih sistematik dan efisien.Dalam hal ini, kerjasama erat dan penyelarasan berterusan antara agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat diperlukan dan dihargai.

4. Pihak KPK ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan dan sokongan padu YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor terhadap usaha serta komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam membangun dan memajukan sektor agrikomoditi. KPK percaya bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh daya saing industri agrikomoditi di Sabah, sekaligus memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat dan negara.

5. Turut hadir dalam kunjungan ini ialah delegasi pengurusan tertinggi KPK yang terdiri daripada Setiausaha Bahagian Kanan Industri Sawit dan Sagu (BISS), Encik Severinus Tukah, serta Setiausaha Bahagian Penggalakan Inovasi dan Modal Insan Industri (PIMI), Encik Saravana Kumar a/l Marimuthu. Turut bersama ialah Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri Sabah, Datuk Shahminan Sahari, Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ceasar Mandela Malakun.