Kerajaan BN diingatkan tidak merendah-rendahkan atau memandang remeh terhadap tuntutan perlaksanaan Perjanjian Perkara 20 kepada Sabah dan Perkara 18 di Sarawak yang memandu kearah pembentukan Malaysia.
Sayab berasa kecewa dengan jawapan yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berhubung soalan dari Ahli Parlimen Permatang Pauh Dr Wan Azizah dan sembilan lagi soalan berkaitan dari ahli-ahli parlimen lain menyentuh perkara tersebut.
Dalam soalannya, Wan Azizah mempersoalkan adakah keseluruhan Perjanjian 20 Perkara dengan Sabah dan 18 Perkara dengan Sarawak sudah dipenuhi.
Namun, jawapan yang diberikan Nancy tidak menjawab isu sebenar sebaliknya berlegar kepada persoalan “Perjanjian Malaysia 1963 dengan 18 Perkara yang diutarakan oleh Sarawak dan 20 Perkara yang diutarakan oleh Sabah merupakan dua perkara yang berbeza”.
Soalannya mudah, adakah perjanjian 20 Perkara Sabah dan 18 Perkara di Sarawak telah dilaksanakan? Mengapa jawapan menteri pusing jauh?
Saya nak ingatkan, perjanjian 20 perkara dan 18 perkara Sabah dan Sarawak ini merupakan inti pati pembentukan Malaysia. Adakah North Borneo dan Sarawak akan setuju untuk bergabung dengan Malaysia tanpa perjanjian ini?
Batu Sumpah Peringatan Perlembagaan yang didirikan di Keningau pada 31 Ogos 1964 memahatkan aspirasi masyarakat pedalaman di Sabah.
Selain Perjanjian 20 Perkara, Batu Sumpah yang didirikan di Keningau telah memberi jaminan kerajaan terhadap tiga perkara yang menjunjung aspirasi masyarakat pedalaman Sabah khususnya. Adakah aspirasi ini juga terlaksana?
Saya juga nak tanya, adakah kerajaan Malaysia akan memperakui semula (reaffirm) segala jaminan kerajaan pada Batu Sumpah lebih 50 tahun lalu? Jika kerajaan benar-benar komited terhadap hak dan aspirasi Sabahan, mereka perlu lakukan dan buktikan. Jangan sekadar berpolitik.