Tragedi kemalangan gerai nasi lemak dilanggar di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang oleh seorang pemandu mabuk dan khayal yang telah menyebabkan kematian pengendali gerai nasi lemak Roslinda Mohamad Isa adalah amat dikesali. Yang mengejutkan rakyat Malaysia, pemandu tersebut dilihat masih khayal dan mabuk selepas kejadian tersebut dan kemungkinan tidak menyedari bahawa dia telah melakukan kesalahan yang amat besar.
Insiden sebegini diharap dapat dielakkan pada masa hadapan dan juga penguatkuasaan dan tindakan undang-undang yang lebih tegas patut dilaksanakan oleh pihak berkuasa bukan sahaja berkenaan undang-undang lalu lintas tetapi juga penguatkuasaan terhadap alkohol murah yang masih dijual secara terbuka walaupun kerajaan akhirnya meminda Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 pada Mei 2016 lalu untuk mengetatkan lagi aktiviti penjualan sebatian minuman keras (compounded hard liquor). Namun demikian, sehingga sekarang tidak ada sebarang pelaksanaan undang-undang dan penguatkuasaan terhadap penjualan minuman beralkohol murah.
Pada Mac 2015, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Saudara Steven Sim bersama gerakan sivil Malaysian Anti-Cheap Liquor Movement diketuai oleh Saudara David Marshell telah menyatakan bantahan terhadap gejala penjualan arak murah di Malaysia sehingga Kerajaan Persekutuan pada masa itu melalui Kementerian Kesihatan akhirnya meminda Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 pada Mei 2016 untuk mengetatkan lagi aktiviti penjualan minuman beralkohol.
Antaranya, pindaan tersebut merangkumi larangan menjual arak kepada mereka yang di bawah umur 21 tahun, sebatian minuman keras (compounded hard liquor) tidak boleh dijual dalam botol selain kaca dan kurang daripada 700 ml. Pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara sehingga dua tahun. Kerajaan Barisan Nasional juga pada masa itu telah berjanji bahawa larangan baru bagi penjualan alkohol ini akan dikuatkuasakan pada 1 Disember 2017 tetapi tidak dilaksanakan tanpa sebarang penjelasan.
Usaha ini adalah penting untuk memerangi gejala arak murah yang boleh dibeli dengan mudah di kedai runcit, dan kedai ubat sekalipun dalam botol kecil 150 ml dengan harga serendah RM5. Pelbagai jenama arak murah masih dijual di seluruh Malaysia. Malah ada yang dilabelkan sebagai ‘ubat’ dan dijual di kedai ubat. Arak-arak murah ini bukan sahaja boleh membahayakan kesihatan malah boleh membawa maut. Isu ini dibangkitkan sekali lagi oleh Saudara Steven Sim di Parlimen pada 12hb Mac 2018.
Malangnya, sehingga kini, tiga tahun selepas pindaan kepada Peraturan-peraturan Makanan 1985 dibuat pada tahun 2016 larangan menjual arak murah, peraturan tersebut masih belum dikuatkuasakan lagi di mana arahan penangguhan dikeluarkan pada November 2017 oleh Kerajaan Barisan Nasional tanpa sebab sebelum ini.
Saya ingin menyeru kepada Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan agar pindaan 2016 terhadap Peraturan-peraturan Makanan 1985 dikuatkuasakan dengan serta merta juga tanpa dilengahkan lagi. Adalah penting bahawa pihak kerajaan menitikberatkan keselamatan serta pengambilan minuman alkohol secara bertanggungjawab. Kita tidak mahu kejadian kemalangan maut seperti yang dilanda oleh Roslinda Mohamad Isa atau isu keracunan alkohol diulangi sekali lagi.