Saya merujuk kepada ucapan Perdana Menteri di Parlimen bersempena Hari Kanak-Kanak Sedunia semalam. Perdana Menteri mengulangi komitmen Kerajaan untuk melindungi dan mempertahankan hak kanak-kanak kita selari dengan semangat Keluarga Malaysia.
Kepentingan kanak-kanak seharusnya menjadi pertimbangan utama dalam setiap keputusan dan tindakan Kerajaan termasuk di agensi-agensi mereka. Bermula daripada Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat sehinggalah kepada isu pendidikan di sekolah dan rawatan perubatan di klinik serta hospital awam – setiap permohonan dan keputusannya mestilah demi kepentingan kanak-kanak. Keluarga Malaysia adalah mengenai identiti dan perasaan memiliki. Tidak ada masa yang lebih baik untuk Perdana Menteri mula mempraktikkan slogan tersebut melainkan dengan menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang memberi kesan kepada kanak-kanak. Tanpa taraf kewarganegaraan, kanak-kanak ini dibiarkan tanpa identiti dan tanpa rasa memiliki. Keluarga Malaysia seakan-akan jauh dan asing buat mereka.
Keputusan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 September 2021 yang membenarkan kewarganegaraan diberikan kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia memberikan kegembiraan dan harapan kepada ramai ibu rakyat Malaysia dan juga kanak-kanak. Bagaimanapun, berbeza dengan kemahuan untuk mengutamakan kepentingan kanak-kanak, Kerajaan yang sama telah memfailkan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Keputusan untuk meneruskan rayuan dan memohon penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi juga dibuat oleh Kerajaan yang sama. Saya tidak mampu memahami antara apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri dan tindakan oleh Kerajaannya sendiri. Kepala mengatakan sesuatu yang lain sedangkan tangan dan kaki bertindak sebaliknya. Keluarga Malaysia hanyalah omongan kosong buat kanak-kanak yang berjuang hanya untuk mendapatkan kad pengenalan mereka.
Cita-cita untuk memastikan kanak-kanak Keluarga Malaysia tidak ketinggalan di belakang mesti bermula sekarang. Ia boleh bermula dengan mewujudkan sebuah Kementerian khusus atau sekurang-kurangnya sebuah agensi yang fokus hanya untuk menjamin hak dan memberikan perlindungan terhadap kanak-kanak. Tindakan lebih berkesan daripada kata-kata. Saya menyeru Ismail Sabri untuk benar-benar melaksanakan slogan Keluarga Malaysia seperti mana yang dilaungkannya, hentikan retorik dengan menarik balik keputusan Kerajaan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera mengeluarkan dokumen yang relevan untuk menjamin identiti kanak-kanak dalam negara ini. Mendapat kewarganegaraan adalah hadiah terbaik sempena Hari Kanak-Kanak daripada Kerajaan yang sering menyampaikan “Salam Keluarga Malaysia” setiap hari.