DAP tidak menyangka Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelanjutan “perintah kawalan pergerakan pemulihan” (PKPP) hingga akhir tahun ini tanpa pakej ekonomi tambahan. Melanjutkan PKPP tanpa melanjutkan moratorium pinjaman bank selama 6 bulan dan suntikan tambahan sebanyak RM45 bilion kepada Dana Ekonomi COVID-19 akan memberi kesan buruk terhadap usaha menyelamatkan pekerjaan rakyat Malaysia, PKS dan kini termasuklah pengilang
Perdana Menteri harus menyedari bahawa pelanjutan PKPP akan membawa kesan negatif ekonomi yang harus dibantu dengan bantuan kewangan. Jaminan bahawa pandemik COVID-19 terkawal akan lebih menggembirakan pekerja dan perniagaan kecil, jika langkah-langkah kewangan juga diumumkan untuk cepat mengeluarkan ekonomi kita dari kemelesetan yang dihadapi sekarang.
Lebih dari 41% pengilang Malaysia mengatakan perniagaan mereka hanya akan bertahan selama kurang dari satu tahun, akibat daripada kerugian hasil disebabkan sekatan COVID-19. Kadar pengangguran 4.9% pada bulan Jun masih tinggi dan turut menyembunyikan fakta bahawa banyak yang bekerja di bawah potensi, di mana golongan profesional seperti juruterbang melakukan pekerjaan selain menerbangkan pesawat.
Lebih buruk lagi ialah isu pemotongan gaji. Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan April, melaporkan 84% pekerja swasta mengalami pemotongan gaji sementara Bank Negara Malaysia juga melaporkan bahawa pada suku tahun kedua, gaji sektor swasta turun sebanyak 5.6% berbanding tahun lalu.
Keadaan akan menjadi lebih teruk tanpa pakej rangsangan kerajaan, subsidi upah dan moratorium bank. Jelas tambahan RM45 bilion diperlukan kepada suntikan dana RM45 bilion yang sedia ada (jumlah RM90 bilion) untuk menyelamatkan bukan sahaja pekerjaan rakyat Malaysia, PKS tetapi juga pengilang.
Lanjutan tempah moratorium pinjaman bank selama 6 bulan lagi juga diperlukan. 8 juta individu dan syarikat Malaysia telah mendapat manfaat daripada nilai moratorium pinjaman berjumlah RM74.3 bilion. Melanjutkan moratorium pinjaman sebanyak 6 bulan lagi apabila ia tamat pada 30 September 2020, hanya akan menelan belanja sebanyak RM6.4 bilion kepada pihak bank.
Industri perbankan mampu menelan belanja RM6.4 bilion ini kerana telah mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM32 bilion tahun lalu. Jika industri perbankan enggan menanggung jumlah kos tersebut, kerajaan harus bertanggungjawab menanggung kos RM6.4 bilion tersebut. Berapa besar RM6.4 bilion berbanding pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah RM295 bilion terutamanya bila ia dapat membantu 8 juta individu dan perniagaan kecil?
Berdasarkan prestasi pertumbuhan ekonomi terburuk Malaysia berbanding negara lain di ASEAN dengan penguncupan 17.1% pada suku tahun kedua, langkah-langkah segera ekonomi perlu diambil untuk mengeluarkan Malaysia daripada kemelesetan dengan secepat mungkin. Mengapa perlu menunggu sehingga tahun depan apabila kerajaan mampu untuk membantu sekarang? Menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan mesti menjadi keutamaan sekarang, jangan tunggu sehingga tahun depan.