Skip to content

Laporan bencana banjir Baling tidak lengkap, perlu ada Kertas Putih di Parlimen

Saya merujuk kepada Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 Sungai Kupang, Baling, Kedah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada 5-8-2022.

Laporan tersebut hanya dikeluarkan pada hari terakhir mesyuarat Dewan Rakyat tetapi tidak dibentangkan atau dibahaskan di Parlimen.

Saya telah mendesak di Parlimen pada 18-7-2022 semasa perbahasan Rang Undang-undang Pindaan Akta Perhutanan 1985 bahawa satu kertas putih perlu dibentangkan di Parlimen untuk bencana banjir di Baling dan dibahaskan di Parlimen.

Menurut Laporan Bencana Banjir Baling, kejadian bencana berlaku pada 4 Julai 2022 dan telah mengakibatkan 3 orang terkorban, 17 buah rumah musnah atau rosak, 3545 penduduk terjejas, 11 buah jambatan dan titi musnah, ratusan rumah dilanda banjir lumpur dan kerugian dianggarkan berjumlah RM25.91 juta. Bencana banjir puing juga berlaku sebelum ini sebanyak 27 peristiwa sejak tahun 1995 dan meragut 442 nyawa. Tahun lalu, banjir puing turut berlaku di Bentong (Pahang) dan Hulu Langat (Selangor).

Laporan ini hanya satu huraian daripada perspektif geologi dan tidak lengkap dan tiada kronologi peristiwa kelulusan tukarguna tanah oleh Kerajaan Negeri Kedah dan kronologi kelulusan serta butiran Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Kerajaan Persekutuan juga tidak disenaraikan. Laporan ini tidak membuat siasatan berkenaan dengan tukar guna tanah dan pencabulan prosedur EIA, pelanggaran peraturan serta undang-undang.

Saya ingin menegaskan bencana banjir di Baling bukan berlaku secara semula jadi tetapi ada satu bencana angkara manusia yang tidak menghormati alam sekitar dan undang-undang.

Saya ingin menambah apa yang tidak disebut dalam Laporan ini ialah kesannya juga turut terasa di Pulau Pinang, di mana banjir bersama lumpur telah sampai di Sungai Muda di sempadan Kedah dan Pulau Pinang. Ini menyebabkan Loji Rawatan Sungai Dua di Pulau Pinang terpaksa ditutup dan bekalan air bersih ke puluhan ribu isi rumah di Pulau Pinang terjejas selama beberapa hari dan negeri Kedah juga terjejas selama beberapa hari.

Menurut Laporan tersebut di mukasurat 53, “Punca penyebab utama ialah hakisan tanah dan aliran puing di tanah tinggi yang menghasilkan sumber bahan puing di dalam alur sungai. Kuantiti air hujan dan bahan puing yang terlalu banyak menjadi penyebab utama berlakunyay banjir puing dan banjir lumpur di Kampung Iboi dan kampung-kampung lain di hilirnya.”

Menurut Laporan tersebut di mukasurat 54, “faktor penyebab tambahan pula ialah kerana Kompartmen 8 Hutan Simpan Kekal seluas 5000 hektar di bahagian hulu Sungai Kupang telah dibalak dan menjadi hutan sekunder. Seluas 823 hektar daripadanya telah ditanam dengan getah dan durian. Perubahan guna tanah ini telah menyebabkan kadar hakisan tanah meningkat dengan tinggi. Longgokan bahan hakisan lama dan hakisan baharu ketika hujan lebat pada 4 Julai 2022 turut menyumbang kepada peningkatan kuantiti bahan puing yang diangkut oleh aliran puing dan banjir puing. “

Rumusan punca utama perlodakan dan faktor tambahan bencana banjir puing ialah pembukaan hutan ladang di kawasan pergunungan/perbukitan.

Apa yang tidak disebut dalam laporan ini ialah bahawa Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) diluluskan untuk Hutan Simpan Gunung Inas untuk ladang hutan tetapi apa berlaku ialah penanaman pokok durian Musa King. Pokok durian tidak disenaraikan sebagai spesies pokok yang diluluskan penanaman semula untuk ladang hutan oleh Jabatan Perhutanan. Ini satu bukti bahawa prosedur pembukaan hutan yang melanggari undang-undang.

Walau bagaimanapun, 10 cadangan jangka pendek dan 4 cadangan jangka panjang daripada Laporan ini boleh digunapakai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah dan yang paling utama ialah Kerajaan Negeri Kedah perlu perlu mengambil tindakan drastik untuk mengubah kembali kawasan yang telah dibalak di Hutan Simpanan Kekal Kompartment 8 Gunung Inas menjadi Kawasan Hutan Perlindungan. Hutan Simpanan Kekal merupakan satu tempat tadahan air serta biodiversiti yang penting yang perlu dilindungi.

Sumber Rujukan: Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 Sungai Kupang, Baling, Kedah

https://www.ketsa.gov.my/ms-my/pustakamedia/Penerbitan/Laporan%20Kajian%20Bencana%20Geologi%20Banjir%20Puing%202022%20di%20Sungai%20Kupang%20Kedah.pdf