PAC Parlimen hari ini, mendapat taklimat daripada Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, Ketua Audit Negara berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 2 (Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan) serta (Pengurusan Syarikat Kerajaan
Persekutuan) yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
Turut hadir dalam taklimat berkenaan, Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi), Patima Ramuji dan Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat), Roslan Abu Bakar.
Bagi pengauditan membabitkan aktiviti kementerian/jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Persekutuan, Ketua Audit Negara menjelaskan ia membabitkan 13 Kementerian dengan 17 laporan dikeluarkan serta 62 syor audit dikemukakan.
Pengauditan membabitkan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan pula membabitkan tujuh syarikat dengan tujuh laporan dihasilkan dan 41 syor audit dikemukakan.
PAC mengambil maklum bahawa sejumlah 25 isu yang dilaporkan atau 4.5 peratus dalam LKAN 2019 Siri 2 adalah bersifat tindakan punitif manakala bakinya, 525 isu atau 95.5 peratus bersifat korektif.
Jawatankuasa ini memandang serius peningkatan isu yang bersifat tindakan punitif dalam LKAN 2019 Siri 2 berbanding LKAN 2019 Siri 1 yang hanya mencatatkan 11 isu tindakan punitif.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus bersikap lebih agresif dan memandang serius isu-isu yang dibangkitkan dalam LKAN yang dibentangkan. Sehubungan itu, PAC menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan dengan segera terhadap semua isu yang dikategorikan sebagai punitif.
PAC sudah mengadakan prosiding untuk lapan isu yang dilaporkan dalam LKAN 2019 Siri 1 dan satu perbincangan khas Jawatankuasa ini akan diadakan bagi menentukan isu-isu dalam LKAN 2019 Siri 2 yang akan dipanggil untuk prosiding.
Antara isu yang berkemungkinan besar akan dipanggil PAC adalah membabitkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia apabila Sistem uCUSTOMS bernilai RM397.43 juta gagal disiapkan sehingga kini sejak ia dimulakan pada Oktober 2013 sedangkan Kerajaan sudah membayar sejumlah RM272.99 juta kepada syarikat yang terpilih.
PAC akan terus menjalankan kerjasama strategik bersama Jabatan Audit Negara khususnya, Ketua Audit Negara dalam memastikan perbelanjaan dan kewangan Kerajaan digunakan secara berhemah dan memberikan pulangan terbaik kepada rakyat dan negara.