Laporan media khususnya suratkhabar Cina mengenai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melarangkan segmen pakaian renang dalam pertandingan Miss Astro Chinese International Pageant (MACIP) tahun 2019 adalah tidak tepat.
Saya dimaklumkan, pihak DBKL telah memberikan kelulusan kepada Astro untuk menganjurkan pertandingan MACIP tersebut. Saya juga dimaklumkan bahawa dalam lesen kelulusan DBKL tersebut tidak pernah mengenakan syarat berpakaian walaupun dalam akta berkaitan ada menyebut perlu berpakaian sopan dan tidak berbentuk lucah.
Saya ingin menegaskan bahawa, semua lesen perhimpunan yang dikeluarkan oleh DBKL tertakluk kepada pandangan dan ulasan daripada pihak polis. Oleh kerana MACIP 2019 diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), maka ia di bawah kawalan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Sentul.
Atas dasar tersebut di atas, saya telah dimaklumkan oleh Ketua IPD Sentul, Tuan ACP S Shanmugamoorthy bahawa beliau telah buat keputusan menasihatkan dan menetapkan syarat tiada segmen berbaju renang dalam acara MACIP 2019.
Saya tidak bersetuju dengan syarat baru tersebut yang dikenakan oleh Ketua IPD Sentul kerana ia adalah agar remeh dan tidak diperlukan bagi siaran program TV MACIP yang berbahasa Cina dan sudah berlangsung selama 20 tahun tanpa menimbulkan sebarang isu sebelum ini.
Walau bagaimanapun, saya juga turut dimaklumkan bahawa Astro hanya membuat permohonan kepada polis dalam masa kurang dari 5 hari sebelum acaranya berlangsung pada 21/12/2019. Sekiranya Astro mematuhi akta yang diperuntukkan dengan membuat permohonan 10 hari sebelum acara, maka wakil rakyat di Kuala Lumpur termasuk diri saya sendiri mempunyai ruang masa bagi membantu penganjur dalam menangani masalah tersebut.