Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini, membentangkan Laporan PAC berhubung Perolehan Vaksin Covid-19 Dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia Di Bawah Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dan Kementerian Kewangan (MOF).
PAC mengambil masa selama kira-kira setahun untuk melengkapkan prosiding ini dengan memulakan prosiding pada 5 Januari 2021 dengan memanggil Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika itu.
Jawatankuasa ini, menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan 77(1)(d) dan 83(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR) untuk mengadakan prosiding serta memanggil semua saksi yang berkepentingan dalam isu ini.
Antara saksi yang turut dipanggil memberikan keterangan dan penjelasan dalam empat prosiding yang diadakan termasuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Datuk Mohd Shafiq Abdullah, KSU KKM.
Prosiding terakhir untuk isu ini, adalah pada 2 Ogos 2021 dan PAC mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk melengkapkan laporan ini dengan mengadakan Mesyuarat Penyediaan Laporan (Housekeeping) sebanyak dua kali iaitu pada 2 November dan 3 November 2021.
Hasil daripada prosiding berkenaan, PAC membuat rumusan dan syor isu Perolehan Vaksin Covid-19 Dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia seperti dalam muka surat 68-71 Laporan PAC dan dilampirkan bersama-sama ini.
Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung Perolehan Vaksin Covid-19 Dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia boleh memuat turun (download) laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac.