Satu laporan polis dan SPRM telah dibuat untuk siasatan beberapa isu yang berlaku di Melaka ICT Holdings Sdn Bhd.
Pada 19 Februari 2019, saya telah umumkan bahawa satu audit khas akan dilaksanakan atas MICTH untuk tujuan ketelusan dan penambahbaikan pengurusan serta prestasi MICTH.
Melalui audit khas tersebut, berapa isu yang telah menarik perhatian saya dan memerlukan siasatan lebih lanjut daripada pihak polis dan SPRM.
Antaranya, pemberian ‘letter of award’ kepada beberapa syarikat kontraktor tanpa pengetahuan dan kelulusan oleh ahli lembaga pengarah terlebih dahulu, serta transaksi e-banking atau online transfer tanpa kelulusan atau authorisation daripada pihak berkenaan. Ini bercanggah dengan prosedur pihak syarikat mahupun bank.
Sempena siasatan dalaman terus dijalankan di peringkat syarikat, laporan polis dan SPRM telah dibuat. Siasatan polis dan SPRM adalah untuk tujuan memelihara ketelusan dan integriti kerajaan negeri Melaka.
Siasatan tersebut berkemungkinan besar menjejaskan operasi syarikat terutamanya dalam pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri Melaka dan pastinya akan memberi kesan negatif kepada matlamat kerajaan negeri Melaka untuk membangunkan 100 infrastruktur telekomunikasi di negeri Melaka pada tahun 2019.
Namun, adalah lebih penting untuk kita mempertahankan ketelusan dan integriti kerajaan negeri Melaka.