Pagi ini, saya telah buat satu laporan polis di Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur berkaitan kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini, yang beliau mendakwa bahawa “Kalau setiap kaum cakap bahasa dia, dia akan timbul buruk sangka. Sebab saya tak faham dia cakap apa. Orang Cina akan cakap Cina, orang Melayu tak faham. Jadi akan timbul buruk sangka,”. Dakwaan beliau adalah sangat membimbangkan dan berunsur perkauman. Pandangannya bukan sahaja tidak tepat, malah berpotensi memecahbelahkan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Menurut Seksyen 504 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, adalah satu kesalahan untuk membuat kenyataan yang boleh membangkitkan ketegangan dan mengapi-apikan sentimen perkauman. Adakah kenyataan Tuan Ibrahim tersebut sudah melanggar undang-undang?
Pihak polis seharusnya memastikan undang-undang dilaksanakan tanpa pengecualian, terutamanya apabila kenyataan tersebut berpotensi menggugat keharmonian negara. Sebagai sebuah negara yang mengutamakan perpaduan, kenyataan berunsur perkauman tidak boleh diterima, dan tindakan segera perlu diambil untuk mencegah sebarang ketegangan antara kaum.
Saya menyeru agar siasatan polis dilakukan secara telus dan adil terhadap kenyataan Tuan Ibrahim itu demi menegakkan keadilan dan mengekalkan keharmonian di Malaysia. Pemimpin politik perlu lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan pandangan mereka, untuk mengelakkan perpecahan dan kebencian dalam masyarakat.