Skip to content

Laporan SPRM dibuat merujuk kepada satu laporan berita mengenai Presiden Parti PAS Hadi Awang vs Sarawak Report

Semalam, saya telah membuat laporan di SPRM Melaka dengan rujukan kepada satu berita di Malaysiakini yang bertajuk “Clare confirms Hadi paid RM1.4m confidentially to settle suit” bertarikh 28 Februari 2019.

Dalam berita tersebut, Haji Abdul Hadi Bin Awang, Ahli Parlimen Marang merangkap Persiden Parti PAS telah dilaporkan membayar wang berjumlah RM1,422,980 secara senyap-senyap kepada Clare Rewcastle-Brown untuk menyelesaikan satu kes di High Court of Justice Queens Bench Division di United Kingdom di mana bayaran penyelesaian kes ini dibuat secara sulit dan persendirian (private and confidential).

Berdasarkan pemahaman saya, sekiranya laporan berita ini benar dan Hadi Awang pernah membuat bayaran tersebut, maka ini membangkitkan persoalan di mana, dalam kes mahkamah tersebut, PAS dikatakan telah menerima duit daripada mantan Perdana Menteri Najib Razak supaya memberi sokongan dalam PRU14.

Amat tidak munasabah sekiranya Hadi Awang yang mendakwa Clare fitnah (tentang pembayaran wang daripada Najib Razak kepada PAS) pada akhirnya perlu membuat bayaran sebanyak RM1.4 juta bagi menyelesaikan kes ini di luar mahkamah, seperti yang dilaporkan dalam berita Malaysiakini ini.

Saya melakukan laporan SPRM bagi menuntut pihak SPRM menyiasat sekiranya jumlah wang yang dikatakan diberikan kepada Hadi Awang wujud, terdapat apa-apa unsur rasuah, persoalan tentang sumber wang tersebut, dan pernahkah Hadi Awang pada bila-bila masa membuat apa-apa pengisytiharan milikan wang ini kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

SPRM wajar melakukan siasatan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan Akta Cukai Pendapatan 1967.