Kami, Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepakat bahawa garis panduan baharu DBKL untuk melarang penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina yang berkuatkuasa pada 1 November 2021 sebagai tidak adil, menekan peniaga serta membebankan masyarakat bukan Islam.
Larangan ini menyekat hak peniaga untuk berniaga serta menjual barang-barang yang sah di segi undang-undang di samping menyusahkan pembeli di kalangan masyarakat bukan Islam di Kuala Lumpur.
Kami menghormati agama Islam. Malah, kami tahu arak adalah haram untuk umat Islam. Tetapi apa yang haram kepada orang Islam tidak boleh dipaksakan terhadap orang bukan Islam, terutamanya dalam hal makan minum. Hak ini merupakan hak setiap rakyat yang telah dipersetujui bersama oleh tokoh-tokoh kemerdekaan kita yang telah menjadi tunjang kepada Perlembagaan Persekutuan.
Malah, larangan tambahan DBKL itu akan menjejaskan imej dan impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Kelas Dunia (World Class City) yang bakal meraikan jutaan warga dunia daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan cara hidup.
Kami bersama beberapa persatuan perniagaan minuman keras telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Dato’ Seri Shahidan Kassim berkenaan isu ini. Namun, nampaknya beliau tidak mengambil serius pendirian serta cadangan persatuan perniagaan tersebut.
Selama ini kedai-kedai runcit dan serbaneka di bawah The Associated Liquor Merchants Association of Malaysia (ALMA) sememangnya mematuhi peraturan garis panduan DBKL berhubung penjualan minuman keras selama ini, iaitu:
- Minuman keras hanya dijual kepada orang bukan Islam yang berumur 21 tahun ke atas;
- Kedai yang menjual minuman keras tidak berada di lingkungan jarak 100 meter di hadapan rumah ibadat, sekolah, hospital/klinik dan juga dalam lingkungan 10 kedai dari kedai yang menjual minuman keras yang lain;
- Tidak menjual minuman keras selepas pukul 9 malam;
- Hanya jual minuman keras yang berdaftar dengan Jabatan Kastam DiRaja.
Pematuhan garis panduan di atas sebenarnya telah cukup untuk mencegah orang Islam atau mana-mana remaja daripada membeli minuman arak.
Selain itu, kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina yang menjual minuman beralkohol merupakan perniagaan kecil yang dimiliki dan diuruskan oleh orang bukan Islam. Hasil penjualan minuman tersebut hanyalah kepada pelangan bukan Islam, dan ia merupakan salah satu sumber pendapatan yang penting bagi kedai-kedai serbaneka ini.
Larangan baharu DBKL yang melarang penjualan minuman keras untuk dijual di kedai serbaneka dan kedai ubat Cina menunjukkan kerajaan cuba menghalang hak mereka untuk berniaga. Ia juga tidak menghormati budaya masyarakat bukan Islam yang biasanya mengambil minuman keras secara sederhana, sama ada untuk kesihatan atau menambah kesedapan makanan.
DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan perlu menghormati cara hidup dan budaya semua rakyat Malaysia, sama orang Islam atau orang bukan Islam. Slogan “Keluarga Malaysia” yang dipelopori oleh Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri YB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan bermakna jika kerajaan mengetepikan suara dan hak masyarakat bukan Islam.
Dengan itu, kami meminta DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan pertimbangkan untuk menarik balik perintah baharu ini dan menghormati hak dan kebebasan masyarakat bukan Islam di Kuala Lumpur.
Kami juga merayu pihak kerajaan supaya berlaku adil untuk semua. Janganlah kerana kita tidak suka sesuatu, kita mahu mengharamkannya pula terhadap orang lain sedangkan sesuatu itu merupakan sebahagian daripada adat resam serta budaya orang lain.
Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur yang menandatangani kenyataan ini:-
Tan Kok Wai
AHLI PARLIMEN CHERAS
Fong Kui Lun
AHLI PARLIMEN BUKIT BINTANG
Teresa Kok Suh Sim
AHLI PARLIMEN SEPUTEH
Lim Lip Eng
AHLI PARLIMEN KEPONG
Hannah Yeoh Tseow Suan
AHLI PARLIMEN SEGAMBUT
Datin Paduka Dr Tan Yee Kew
AHLI PARLIMEN WANGSA MAJU
Prabakaran A/L Parameswaran
AHLI PARLIMEN BATU