Skip to content

Larangan berpuasa diskriminasi terhadap hak asasi manusia

Merujuk kepada laman web South China Morning Post pada 2 Julai 2014 yang telah melaporkan bahawa pihak berkuasa Negara China melarang pelajar, guru dan penjawat awam di kawasan etnik Uyghur, Xinjiang, berpuasa berikutan larangan yang sama dibuat beberapa tahun yang lalu, saya menganggap tindakan tersebut sebagai diskriminakasi terhadap hak asasi manusia untuk menganut dan mengamalkan agama yang dipercayai masing-masing.

Beragama itu bukanlah satu budaya tetapi satu kepercayaan yang tidak boleh diambil ringan. Bagi umat Islam, berpuasa pada bulan Ramadan merupakan satu ibadah yang mesti dijalani oleh setiap umat Islam pada setiap tahun bagi meningkatkan keimanan dan ketaqwaan mereka terhadap agama itu dan Tuhannya.Tindakan melarang berpuasa atas alasan menjaga kesihatan seperti yang diarah oleh Kerajaan Negara China adalah tidak wajar dan memaksa mereka makan dengan ugutan adalah sangat keji.

Larangan berpuasa itu akan menaikkan perasaan marah penduduk Islam di kawasan itu dan menyemarakkan lagi semangat berjuang untuk menuntut hak masing-masing. Kebimbangan Negara China tentang kewujudan militan yang dikatakan menuntut kemerdekaan dan berlakunya pertempuran penduduk Uyghur dengan pasukan keselamatan negeri akan lebih menjadi kenyataan ngeri sekiranya Kerajaan Negara China terus bertindak sedemikian.

Oleh yang demikian, larangan tersebut haruslah dihentikan dengan serta-merta dan penduduk Islam di Negera China harus diberi kebebasan untuk menjalankan ibadah agama mereka. Kerajaan Negara China juga harus menghormati kebebasan beragama dan tidak terlalu menggongkong rakyatnya.