Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadualkan akan mengadakan lawatan ke Tawau esok dengan satu perhimpunan raksasa anjuran Umno Kalabakan dan Tawau sebagai tanda solidariti dengan jangkaan kehadiran seramai 30,000 orang.
Sebagai rakyat Sabah, sudah tentu kedatangan beliau sebagai ketua kerajaan amat dialu-alukan dan saya selaku Pengerusi DAP Sabah saya berharap kedatangan beliau esok bukan sekadar lawatan untuk meraih simpati politik akibat satu demi satu masalah yang melanda negara hingga menyebabkan kehilangan sokongan dan kepercayaan pemimpin-pemimpin Umno sendiri. Tetapi kedatangan beliau perlulah memberi impak positif terhadap Sabah.
Umum mengetahui fakta dari Bank Dunia menyatakan Sabah merupakan negeri yang kaya tetapi masih ramai rakyat yang miskin. Salah satu sebab kemiskinan ini berlaku diakibatkan oleh kurangnya kemudahan infrastruktur di seluruh sabah seperti jaringan jalanraya dan bekalan tenaga elektrik dan air yang baik di seluruh Sabah yang memungkinkan segalan perancangan pembangunan terbantut. Adakah projek Rancangan Malaysia yang diumum lima tahun sekali sekadar ‘sedap disengar’ tanpa tindakan bersungguh-sungguh?
Malah masih ada lagi kes-kes dimana pesakit terpaksa menaiki kerbau untuk ssampai ke jalan utama seperti di Pitas dan ada yang terpaksa menggali perigi kerana putus bekalan air berbulan-bulan lamanya walaupun terdapat sistem perpaipan seperti yang melanda di beberapa buah kampung di kawasan Matunggong.
Dalam masa yang sama, Sabah terus dihantui masalah PATI, isu kewarganegaraan, isu keselamatan dan sebagainya. Kemelut ini merupakan mimpi ngeri rakyat Sabah sejak berdekad lalu.
Rakyat Sabah tidak akan dapat apa-apa manfaat jika beliau hanya datang untuk mendapatkan sokongan politik malah rakyat masih terus menunggu janji-janji pembangunan yang ditabur sejak pilihanraya lalu. Tanpa komitmen bersungguh kerajaan, kedatangan Najib ke Sabah tidak akan membawa apa-apa makna melainkan satu pembaziran wang kerajaan.
Sempena lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke Tawau, saya ingin mengemukakan dua pertanyaan khusus:
- Sekitar tahun 1980-an, kerajaan telah berjanji untuk membina 10 km lebuhraya pantai di Tawau. Hingga sekarang tahun 2015, janji itu masih belum ditepati. Adakah di bawah pentadbiran Najib ia akan ditunaikan dan bila ia akan dilaksanakan?
- Keduanya ialah berhubung Sekolah Menengah Kebangsaan Titingan 2 di Tawau yang telah siap dibina beberapa tahun lalu tetapi tiada laluan masuk. Ia menyebabkan sekolah itu tidak dapat digunakan dan apa yang menyedihkan, sekolah itu mengalami kecurian dan kerosakan.
Berdasarkan aduan dan pemerhatian, bahagian utama sekolah seperti zink, bingkai tingkap, penghawa dingin, tiang elektrik, paip penyambungan, transmetor elektrik telah hilang dicuri. Nampaknya, wang dana awam berjumlah kira-kira RM35 juta telah terbazir begitu sahaja. Bagaimana sebuah sekolah siap dibina tanpa laluan masuk dan apa tindakan kerajaan selanjutnya?
Saya hanya berharap, lawatan Perdana Menteri ke Tawau tidak sia-sia dan memberi manfaat kepada rakyat Sabah terutamanya di Tawau.