Mulai 13 April hingga 15 April 2015, rombongan Ahli Parlimen DAP yang diketuai oleh Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang telah membuat lawatan ke Jordan. Anggota-anggota rombongan lain adalah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, serta beberapa staf sokongan.
Tujuan lawatan ini adalah untuk mempelajari dengan lebih mendalam budaya dan dinamik politik Asia Barat, khususnya berkenaan gerakan siasah Islam yang makin berkembang di rantau ini. Dalam pada itu, kami telah berjumpa dan berdialog dengan pelbagai organisasi bukan kerajaan seperti Phoenix Center Jordan dan Debate Foundation, serta tokoh-tokoh ilmiah seperti Dr Mohammad Abu-Rummah daripada University of Jordan dan Dr Fathi Malkawi daripada International Institute of Islamic Thought.
Di samping itu, rombongan kami juga telah mengunjung ke Kem Pelarian Syria Zaatari berdekatan denga Mafraq. Di situ, kami diberi taklimat mengenai pengurusan kem pelarian tersebut oleh pegawai-pegawai Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR). Kemudiannya, kami dibawa masuk untuk melawat kem yang menjadi tempat tinggal lebih 83,000 orang pelarian Syria, di mana kami berkesempatan untuk bertemu dan berdialog bersama sekumpulan pelarian.
Tambahan kepada itu, kami juga telah mengadakan beberapa sesi perjumpaan bersama pelajar-pelajar Malaysia dari pelbagai universiti di Jordan.
Pada hari ini, rombongan kami akan meneruskan program dengan lawatan ke Mesir sehingga 19 April. Buat makluman umum, DAP tidak mempunyai sebarang hubung kait dengan akaun-akaun Facebook seperti “DAP Mesir” dan lain-lain lagi yang tampaknya berniat jahat dan bertujuan untuk memburuk-burukkan lawatan rombongan kami ke Asia Barat ini.