Sebanyak lebih 2,000 kilogram minyak masak terpakai (Used-Cooking Oil, UCO) berjaya dikumpulkan melalui Pertandingan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai (UCO) yang disertai oleh 13 buah sekolah sekitar Kota Kinabalu.
Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) untuk memupuk kesedaran sivik dan amalan lestari dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan pengurusan minyak masak terpakai serta potensinya sebagai bahan mentah bagi penghasilan Bahan Api Penerbangan Lestari (Sustainable Aviation Fuel, SAF).
Dalam majlis penutup yang diadakan di Horizon Hotel, Kota Kinabalu, YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.
Kategori Sekolah Rendah:
Johan: SJKC Chung Hwa Likas – 420kg
Naib Johan: SK St. Francis Convent – 192kg
Tempat Ketiga: SK Kepayan – 170.85kg
Kategori Sekolah Menengah:
Johan: SMK SANZAC – 392.5kg
Naib Johan: SM Tshung Tsin dan SMJK Shan Tao – masing-masing 113.5kg
Pencapaian ini menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan pelajar dan warga sekolah terhadap kepentingan pengurusan minyak masak terpakai secara teratur. Penglibatan aktif pelajar, guru, dan ibu bapa turut menjadi faktor penting dalam menjayakan inisiatif ini.
Dalam ucapannya, Chan menyampaikan penghargaan kepada semua sekolah yang terlibat serta rakan pelaksana utama, iaitu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan JCI Kota Kinabalu, atas komitmen serta kerjasama menjayakan program ini yang diadakan buat julung kalinya di Sabah.
“Kejayaan mengumpul lebih 2,000 kilogram minyak masak terpakai dalam tempoh hanya dua bulan membuktikan bahawa usaha pendidikan dan kesedaran alam sekitar di peringkat sekolah mampu memberi impak besar kepada komuniti. Ia bukan sekadar aktiviti kitar semula, tetapi komitmen masyarakat dalam menyokong hala tuju negara ke arah penghasilan tenaga mampan,” ujar beliau.
Beliau turut menambah bahawa minyak masak terpakai kini mempunyai nilai ekonomi yang semakin penting, terutamanya sebagai bahan mentah utama dalam penghasilan Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF) — seiring dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030) yang menekankan pembangunan agrikomoditi bernilai tambah tinggi dan rendah karbon.
Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), jumlah pengumpulan UCO di Sabah pada tahun 2024 hanya sekitar 5,200 tan, iaitu kurang daripada 1.5% daripada keseluruhan kutipan UCO di Malaysia sebanyak 380,000 tan pada tempoh yang sama. Justeru, inisiatif seperti pertandingan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan kadar pengumpulan UCO di negeri Sabah.
Chan turut menyeru agar lebih banyak pihak, termasuk sekolah-sekolah lain, badan bukan kerajaan dan komuniti tempatan, menyertai usaha ini bagi menguruskan minyak masak terpakai dengan cara yang lebih berkesan. Langkah ini bukan sahaja memberi manfaat ekonomi melalui penjanaan pendapatan tambahan kepada isi rumah, tetapi juga membantu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca serta pencemaran alam sekitar.
“Sekolah-sekolah yang berminat boleh berhubung dengan pejabat saya untuk penyelarasan bersama DBKK serta vendor pengumpulan minyak masak terpakai berlesen seperti Arus Oil, bagi memastikan proses pengumpulan dan penyaluran UCO dijalankan dengan teratur dan selamat.
“Program sebegini membuktikan bahawa tindakan kecil di peringkat komuniti mampu memberi kesan besar kepada masa depan tenaga lestari negara. Marilah kita bersama-sama memperkukuh budaya kitar semula demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian bumi,” tambahnya.
Turut hadir adalah Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Encik Leong Tze Fui, Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Dr Ramle Hj Kasin dan Penyelaras MPOB Zon Sabah Encik Amran Arifin.