Skip to content

Lebih baik biarkan Ahmad Zahid Hamidi marah berbanding mengundang kemarahan alam

Ketika Perdana Menteri Ismail Sabri mengadakan pertemuan politik bersama 5 pimpinan tertinggi UMNO pada malam ini bagi membincangkan tarikh pilihan raya umum ke-15, beliau harus ingat bahawa Keluarga Malaysia beliau bukan hanya menjadikan beliau Perdana Menteri UMNO tetapi juga bertanggungjawab terhadap 32 juta rakyat Malaysia. Beliau wajib mengutamakan kepentingan rakyat, kesejahteraan, kebajikan, keselamatan dan ketenteraman berbanding kepentingan politik sempit UMNO.

Peringatan ini bagi memastikan beliau meletak kepentingan rakyat pada kedudukan pertama terutamanya setelah kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam bahawa negara bakal melalui fasa peralihan monsun bermula 3 Oktober hingga akhir November. MetMalaysia turut menyebut semasa fasa peralihan monsun ini, negara akan menghadapi ribut petir yang berpotensi mencetuskan banjir kilat.

Kerajaan mempunyai tugas asas untuk memastikan pengundi dapat turun mengundi di pusat pengundian dalam keadaan yang teratur, selamat, terjamin dan tenang. Kesediaan mengharungi air banjir untuk mengundi dan berkempen seperti yang disarankan oleh Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi adalah memalukan dan tidak patut diucapkan oleh seorang wakil rakyat.

Ini mengimbau salah satu banjir terburuk dalam sejarah Pulau Pinang pada 5 November 2017. Lihatlah juga kemusnahan banjir yang dibawa oleh Taufan Ian di Florida dan Cuba, Taufan Fiona di Puerto Rico, Taufan Nanmadol di Jepun, Taufan Noru di Filipina dan Vietnam. Lebih baik menahan kemarahan Ahmad Zahid daripada mengundang kemarahan alam.

Ismail Sabri harus mengambil kira pertimbangan ini dalam meyakinkan 5 pemimpin tertinggi UMNO bahawa adalah dangkal dan tidak bertanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya umum semasa musim tengkujuh. Bagaimana pengundi boleh menjalankan kewajipan mereka sebagai rakyat Malaysia jika mereka terpaksa mengharungi air banjir untuk mengundi sedangkan mereka lebih perlu utamakan usaha menyelamatkan harta benda dan nyawa mereka?

Rakyat tidak boleh diletakkan dalam keadaan berisiko dan bahaya hanya bagi memenuhi kehendak politik dan angan-angan ahli politik yang tidak jujur yang pentingkan diri sendiri. Ini adalah peluang terbaik untuk Ismail Sabri berkhidmat sebagai Perdana Menteri dengan mengadakan pilihan raya umum tahun depan dan meninggalkan kesan yang berpanjangan dengan sanggup menentang ketua politiknya dalam UMNO kerana hakikatnya beliau perlu berkhidmat kepada ketua beliau yang sebenar – rakyat Malaysia .