Skip to content

Lebih baik Ismail Sabri mansuhkan MetMalaysia jika enggan mendengar nasihat mereka untuk tidak mengadakan pilihan raya umum ke-15 tahun ini

Lebih baik Perdana Menteri Ismail Sabri memansuhkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) jika beliau enggan mendengar nasihat mereka supaya tidak mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 tahun ini. Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) (MetMalaysia) Dr Mohd Hashim Mohd Anip mencadangkan supaya pilihan raya umum tidak diadakan tahun ini, daripada sudut pandangan komuniti pengurusan bencana, kerana akan terdapat banyak lokasi di seluruh Malaysia yang akan menghadapi bencana banjir.

Hashim berkata musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan November dan berakhir Mac tahun depan, berkemungkinan akan menyaksikan hujan lebat berterusan di Kelantan, Terengganu dan Pahang, antara November dan Disember. Episod hujan yang sama juga dijangka berlaku di Johor, Sabah dan Sarawak antara Disember tahun ini dan Februari tahun depan. Hujan lebat juga boleh berlaku di pantai barat semenanjung.

Apa gunanya ada Jabatan MetMalaysia jika Ismail Sabri enggan menerima nasihat pakar mereka? Ismail Sabri harus secara terbuka menghentikan usaha mementingkan diri sendiri oleh Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan pilihan raya umum awal pada tahun ini walaupun terdapat risiko kepada nyawa dan harta benda akibat banjir teruk, dengan mengumumkan secara muktamad bahawa pilihan raya umum akan diadakan selepas Mac tahun depan apabila musim tengkujuh sudah berakhir.