Skip to content

Lebih setengah bilion ringgit diperuntukkan untuk projek tebatan banjir di Pulau Pinang sejak tahun 2013

Sejak dua minggu lalu, Pulau Pinang dilanda banjir kilat yang teruk akibat taburan hujan yang amat tinggi disebabkan peralihan monsun tahunan. Contohnya, sesetengah kawasan merekodkan taburan hujan sebanyak 100 – 200mm sejam menurut data yang diperolehi dari stesen hujan. Buat pengetahuan umum, taburan hujan 60mm sejam sudah cukup untuk diklasifikasikan sebagai hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir kilat.

Lebih mengeruhkan keadaan, fenomena air pasang besar (super tide) pada cuti hujung minggu perayaan Deepavali turut menyumbangkan kepada situasi banjir ini. Sudah menjadi kelaziman di mana negeri yang bergeografi pesisiran pantai akan terdedah kepada risiko banjir apabila air pasang bertemu dengan hujan lebat kerana pertembungan ini akan menyukarkan pengaliran keluar air ke laut.

Peningkatan enam kali ganda purata taburan hujan tahunan

Akhir-akhir ini, dunia mengalami perubahan iklim yang amat ketara sehingga mengakibatkan peningkatan taburan hujan yang amat luar biasa.

Mengikut statistik, purata taburan hujan tahunan sejam di negeri ini meningkat enam kali ganda sejak tahun 90-an, dari 31mm ke 180mm sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jadual taburan hujan tahunan bagi Negeri Pulau Pinang adalah seperti berikut:

Tahun Purata Taburan Hujan Tahunan Setiap Jam
1990 – 1999 31mm
2000 – 2009 146mm
2010 – 2018 180mm

Tidak dapat dinafikan, infrastruktur perparitan dan saliran yang sedia ada di negeri ini tidak dapat menampung jumlah hujan yang diterima. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk merangkakan Pelan Induk Perparitan untuk kesemua lima daerah di negeri ini.

Pelan induk yang turut menggunapakai garis panduan yang terkandung dalam Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) oleh Jabatan Pengairan dan Saliran ini kini dijadikan sebagai rujukan rasmi untuk segala perancangan dan pembangunan di kelima-lima daerah.

Lebih setengah bilion ringgit

Bagi menangani isu peningkatan taburan hujan, Kerajaan Negeri juga telah melabur sejumlah wang yang besar dalam infrastruktur tebatan banjir. Sejak tahun 2013, 369 projek yang bernilai RM155 juta telah dilaksanakan di seluruh negeri dengan menggunakan dana caruman perparitan, iaitu bayaran yang diwajibkan ke atas projek-projek pemajuan. Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang juga telah membelanjakan hampir RM43 juta untuk 37 projek tebatan banjir dalam masa yang sama.

Di samping itu, sebanyak RM150 juta lagi telah diperuntukkan bagi lapan projek berimpak tinggi oleh Kerajaan Negeri berikutan banjir besar pada November 2017. Daripada lapan projek tersebut, enam projek dalam status pembinaan manakala dua lagi projek dalam proses tender ekoran penyempurnaan rekabentuk terperinci pada tahun ini. Walaupun projek-projek berimpak tinggi ini mampu mengurangkan banjir di kawasan-kawasan kritikal, ia hanya boleh berfungsi selepas penyempurnaan projek, di mana kebanyakannya dijadualkan pada tahun hadapan.

Tambahan kepada projek Kerajaan Negeri yang sedia ada, sejak tahun 2018 Kerajaan Persekutuan telah meluluskan lima projek yang bernilai RM200 juta termasuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang yang telah dinanti-nantikan sejak sekian lamanya. Sebelum tahun 2018, Pulau Pinang kurang menerima pembiayaan persekutuan untuk projek tebatan banjir.

Secara keseluruhan, jika digabungkan projek-projek Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, sebanyak RM550 juta telah diperuntukkan untuk infrastruktur tebatan banjir di Pulau Pinang sejak 2013.

Suara hipokrasi

Malangnya, sejak kebelakangan ini pihak pembangkang lantang menuduh bahawa Kerajaan Negeri tidak melakukan apa-apa untuk mengurangkan masalah banjir di Pulau Pinang. Ada juga berpendapat bahawa projek-projek tebatan banjir negeri ini adalah satu “kegagalan”.

Tuduhan pihak pembangkang yang tidak berasas ini merupakan satu perbuatan hipokrit. Ini kerana merekalah juga yang pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional yang telah menafikan peruntukan bagi projek tebatan banjir yang kritikal di Pulau Pinang semasa mereka berada di tampuk pemerintahan. Contoh terbaik adalah RTB Sungai Pinang yang melibatkan lembangan sungai yang paling penting dan berkepadatan tinggi di Pulau Pinang. Setelah fasa awal projek itu selesai pada pertengahan tahun 90-an, dana tidak pernah disalurkan untuk fasa berikutnya dan akibatnya tiada kerja dijalankan bagi projek tebatan banjir ini.

Selepas peralihan kuasa Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018, saya secara peribadi telah membuat kunjungan hormat kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang segera meluluskan RM150 juta yang diperlukan untuk fasa seterusnya RTB Sungai Pinang. Pengiklanan tender telah dijalankan untuk melantik perunding dan kini sedang berada di peringkat rekabentuk terperinci manakala pembinaan dijangka akan bermula pada akhir 2020 atau awal 2021.

Bak pepatah Melayu, kenyataan yang dilemparkan oleh pembangkang ibarat ludah ke langit terkena muka sendiri. Kerajaan Negeri dan Persekutuan Pakatan Harapan tidak berminat untuk menuding jari kepada sesiapa dan sebaliknya lebih komited untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan banjir di Pulau Pinang. Komitmen ini jelas terlihat dengan pelaksanaan projek tebatan banjir bernilai sebanyak RM550 juta di negeri ini sejak tahun 2013.