Lebih tiga minggu telah berlalu sejak insiden seorang remaja mencampak bata dari tingkat atas pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Desa Petaling, Kuala Lumpur. Namun sehingga kini, masih belum jelas kepada umum sama ada suspek telah didakwa di mahkamah, memandangkan tiada penjelasan terkini yang terperinci daripada pihak polis.
Perbuatan mencampak objek dari ketinggian bukan isu remeh. Ia merupakan satu tindakan berbahaya yang boleh mengakibatkan kecederaan serius atau meragut nyawa orang awam. Dalam hal yang melibatkan keselamatan awam, sebarang kelewatan atau kekaburan maklumat hanya akan menimbulkan kebimbangan dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap penguatkuasaan undang-undang.
Sehubungan itu, saya menggesa pihak polis memberikan penjelasan yang telus mengenai status siasatan serta tindakan pendakwaan yang telah atau akan diambil. Ketegasan dalam penguatkuasaan adalah penting bagi memastikan keadilan ditegakkan, di samping menjadi peringatan jelas bahawa sebarang perbuatan yang mengancam keselamatan awam tidak akan dipandang ringan.
Pesalah mesti dikenakan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan pencegahan kepada orang lain. Tanpa tindakan tegas, perbuatan berbahaya seperti ini berisiko berulang dan terus mengancam keselamatan masyarakat.