Skip to content

Lembaran Johor Tengah, stimulus ekonomi?

Saya telah memperkenalkan program ekonomi – Lembaran Johor Tengah dalam kempen PRU 14. Program ini telah mendapat perhatian orang ramai, terutamanya pengusaha-pengusaha di Kluang.

Lembaran Johor Tengah seterusnya telah dilancarkan secara rasmi pada 22 Sep lalu.

Lembaran Johor Tengah merupakan satu program untuk mewujudkan platform politik ekonomi yang berupaya mengintegrasikan:

  • Perusahaan pertanian, perindustrian dan pelancongan
  • Golongan petani, pelabur dan pembentuk polisi
  • Pelbagai hartanah
  • Bandar, pekan dan kampung
  • Keunikan alam semulajadi, nilai kebudayaan dan unsur kemanusiaan

Dalam perkataan lain, Lembaran Johor Tengah boleh dikatakan sebagai satu platform peringkat strategi (Strategic Level Platform) yang akan mempermudahkan pelaksanaan pada peringkat operasi (Operational Level Execution) sesuatu perusahaan, contohnya, sebuah agensi pelancongan boleh mengeluarkan pakej merentas desa dengan kerjasama sebuah pasukan ekspedisi beroda 4, sebuah kilang seramik boleh mengadakan bengkel sekeluarga dalam cuti sekolah dan sebuah dusun buah-buahan boleh mengeluarkan bakul buah tangan dengan kerjasama pengusahaan-pengusahaan bidang yang berlainan.

Akan tetapi, pakej-pakej usaha-sama pelbagai pengusaha-pengusaha di atas memerlukan bantuan kerajaan dalam aspek-aspek seperti:

  • Bagaimana boleh mendirikan rumah tumpangan di tanah pertanian?
  • Dimanakah kemudahan sejuk beku, insentif dan bimbingan dalam perusahaan pengeluaran makanan

Soalan-soalan di atas hanya boleh dijawab dengan komunikasi yang merentasi beberapa jabatan kerajaan seperti Jabatan pertanian, Lembaga Pelancongan dan Jabatan Tanah, supaya polisi yang sedia ada boleh disemak atau digubal, garis panduan boleh diwujudkan untuk membantu pengusaha-pengusaha berkenaan.

Bagaimana dengan integrasi unsur kemanusiaan dengan perusahaan tempatan pula? Selain daripada usaha untuk membaik-pulihkan bangunan-bangunan bersejarah, daya kreativiti untuk menyepadukannya unsur warisan yang tidak ketara atau unsur bukan fizikal, seperti tradisi hari perayaan, kraf tangan, seni budaya rakyat, estetik dan penghayatannya, serta perasaan nostalgia sangat diperlukan.

Konsep Taman Rekreasi Ternakan atau Pertanian yang mengubah-suaikan ladang pertanian ke taman rekreasi pula memerlukan idea yang berupaya mempromosikan pemandangan padang ternakan yang luas, bendang yang berpetak-petak dan lautan tanaman atau tumbuhan kepada pelancong. Ia juga harus dipadankan dengan konsep kehidupan ala-kebun atau ladang, pemprosesan hasil ternakan atau pertanian yang mesra alam semulajadi. Integrasi yang berjaya akan membolehkan konsert dijalankan di ladang!

Semua usaha integrasi atau penyepadukan pelbagai bidang dan unsur memerlukan kreativiti. Kreativiti dalam pertanian, seni-budaya, makanan dan minuman perlu dijalinkan. Nilai kreativiti ini lah yang akan membawa penambahan nilai perusahaan tersebut, meningkatkan kualiti aktiviti ekonomi sesebuah bandar serta membekalkan peluang pekerjaan yang baik.

Kesemua usaha yang dihuraikan di atas sebenarnya perlu melibatkan generasi muda kerana merekalah yang berupaya membawa perubahan dan daya kreativiti untuk mengembang, menyepadukan keunikan tradisional dengan teknologi baru.

Saya telah menerima maklumat-maklumat mengenai industri yang berasaskan integrasi pelbagai bidang daripada beberapa kawan di luar negara selepas pelancaran Lembaran Johor Tengah. Dari maklumat-maklumat itu, saya mendapati bahawa negara-negara seperti Jepun, negara Eropah dan Amerika Syarikat telah pun mencari peluang ekonomi sebegini selepas pembangunan yang pesat. Di China pula, pengusaha-pengusahanya juga tidak lupa untuk menerokai peluang ekonomi baru ini walaupun berada di dalam arus perbandaran yang pesat.

Dengan contoh-contoh kejayaan, peluang-peluang dan perkembangan masa kini yang berada di negara-negara tersebut di atas, saya menaruh harapan yang tinggi, bahawa Lembaran Johor Tengah ini berpotensi tinggi mewujudkan nilai ekonomi baru di kawasan Johor Tengah.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, dengan usaha semua pihak yang terlibat, tidaklah mustahil Lembaran Johor Tengah akan menjadi nadi ekonomi baru penduduk-penduduk di sini.