Skip to content

Liang Teck Meng cuba mengalihkan perhatian terhadap kegagalan Gerakan dan MCA untuk memastikan kerajaan tidak mengambil alih usul persendirian RUU355

Saya merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Parti Gerakan dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng semalam yang mendesak saya untuk memohon maaf secara terbuka kerana kononnya saya menyokong pelaksanaan hukum hudud dalam satu ceramah beberapa tahun lalu sebelum PRU13 dan rakaman tersebut diviralkan baru-baru ini.

Pertamanya, saya menafikan bahawa saya pernah menyokong pelaksanaan hukum hudud di Malaysia yang didakwa oleh pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan. Pendirian DAP tidak pernah berubah iaitu hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Pendirian ini adalah sama semasa DAP bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat. Hudud juga bukan agenda dan tidak pernah dipersetujui sebagai dasar bersama Pakatan Rakyat.

Keduanya, hujah saya dalam ceramah tersebut bahawa “kalau tak mencuri, tak merompak, tidak perlu takut hudud” bertujuan untuk menangkis serangan dan cubaan oleh pemimpin MCA dan Gerakan untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina terhadap isu hudud dan menolak Pakatan Rakyat pada PRU13.

Saya kata “tidak perlu takut” tidak bermaksud kami menyokong hudud. Saya menegaskan dalam ucapan saya bahawa hudud bukan agenda dan dasar bersama Pakatan Rakyat dan isu hudud bukannya pertimbangan dalam PRU13. Propagandis MCA dan Gerakan sengaja memutar-belitkan konteks ucapan saya dengan hanya meviralkan beberapa perkataan tersebut sahaja.

Perbezaan di antara DAP dengan MCA/Gerakan ialah walaupun kami tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud, kami menggunakan hujah yang berhemah dan tidak pernah memburuk-burukkan hukum Islam untuk menakutkan masyarakat bukan Islam. MCA dan Gerakan pula cuba membentuk persepsi yang buruk terhadap hukum Islam dan mewujudkan perasaan Islamphobia di kalangan masyarakat bukan Islam di Malaysia. Namun, DAP pula yang diserang oleh UMNO dan PAS sebagai anti-Islam.

DAP memutuskan hubungan dengan PAS kerana PAS melanggari dasar bersama Pakatan Rakyat dalam isu hudud. Saya nak bertanya kepada Liang Teck Meng sama ada Parti Gerakan bersedia untuk memutuskan hubungan dengan UMNO dan keluar dari Barisan Nasional sekiranya UMNO melanggari konsensus BN dengan mengambil alih usul persendirian RUU355 dalam persidangan kali ini?

Kenyataan Liang Teck Meng adalah cubaan untuk mengalihkan perhatian terhadap kegagalan Gerakan dan MCA untuk memastikan kerajaan tidak mengambil alih usul persendirian RUU355.