Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng telah bertindak tidak wajar dan tidak profesional apabila membuat kenyataan di bawah parti Gerakan dengan memanggil saya untuk mendedahkan surat daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) kepada SPAN bertarikh 23 Disember 2016. Sebagai Pengerusi SPAN iaitu badan berkanun yang mengawal selia industri perkhidmatan air, beliau tidak seharusnya menggunakan kedudukan tersebut untuk mendapatkan ganjaran politik tetapi bersikap profesional untuk memastikan kelestarian industri air yang memberi manfaat kepada rakyat dengan memastikan bekalan air yang mencukupi, bersih dan sihat.
Malangnya beliau telah gagal menjalankan tanggungjawabnya dan sebaliknya telah menggunakan jawatan sebagai Pengerusi SPAN untuk membuat pendedahan maklumat sulit, yang tidak lengkap dan diambil di luar konteks secara selektif bagi memberi gambaran palsu dan negatif kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
- Liang telah melanggar tanggungjawabnya sebagai Pengerusi, apabila beliau berpura-pura meminta kebenaran saya untuk mendedahkan permohonan PBAPP (bukan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang) kepada SPAN bertarikh 23 Disember 2016 untuk mendapatkan kelulusan menaikkan tarif air. Namun dalam kenyataannya bertarikh 20 Julai yang lalu, beliau menggariskan apa yang dinyatakan dalam surat PBAPP, menjadikan permohonan kebenaran saya itu tidak ikhlas dan pura-pura untuk menutup ketidakmatangannya untuk mendapatkan ganjaran politik.
- Liang telah melanggar tanggungjawabnya sebagai Pengerusi SPAN, apabila beliau tidak memberikan pendedahan penuh, dengan gagal mendedahkan bahawa PBAPP telah menarik balik permohonannya untuk menaikkan tarif air dalam surat kepada SPAN bertarikh 21 Februari 2017.
- Liang telah melanggar tanggungjawabnya sebagai Pengerusi SPAN, apabila beliau sekali lagi tidak memberikan pendedahan penuh dengan gagal mendedahkan bahawa SPAN secara bertulis pada 25 April 2017 telah membuat bantahan secara tegas kepada surat PBAPP bertarikh 21 Februari yang menarik balik cadangan kenaikan tarif air.
- Liang telah melanggar tanggungjawabnya sebagai Pengerusi SPAN, apabila beliau sekali lagi tidak memberikan pendedahan penuh dengan gagal mendedahkan bahawa SPAN sekali lagi menulis kepada PBAPP pada 23 Jun 2017 bahawa cadangan untuk mengenakan Surcaj Pembaziran Air (SPA) tidak akan menghasilkan pendapatan yang mencukupi untuk PBAPP dan peningkatan tarif air harus dipertimbangkan.
- Liang telah melanggar tanggungjawabnya sebagai Pengerusi SPAN, apabila beliau cuba menyembunyikan fakta bahawa SPAN telah jelas mendesak kenaikan tarif air daripada PBAPP dan tidak gembira apabila PBAPP menarik balik cadangan kami.
SPAN juga tidak berpuas hati apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang sanggup untuk mencuba sekali lagi, dengan menggunakan peningkatan SPA untuk cuba mengurangkan pembaziran air atau penggunaan air yang berlebihan, dengan menghukum mereka yang membazirkan air dan bukannya menghukum semua pengguna dengan kenaikan tarif air.
Ini ditunjukkan dalam kenyataan Liang seperti yang dilaporkan di Bernama pada 20 Julai 2017,
“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menerima permohonan daripada kerajaan Pulau Pinang untuk menaikkan surcaj pemuliharaan air (SPA) bagi penggunaan domestik di negeri itu, namun masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.
Pengerusi SPAN Datuk Liang Teck Meng berkata keputusan itu masih belum dimuktamadkan memandangkan SPAN berpendapat jika kerajaan negeri berhasrat untuk menaikkan SPA, ia lebih sesuai dilakukan serentak dengan menaikkan kadar tarif, agar selari.”
Sekiranya beliau merasakan komen saya adalah bahawa beliau telah memberikan petunjuk bahawa Kerajaan Persekutuan mahu Pulau Pinang menaikkan kadar airnya selaras dengan negeri-negeri lain, maka beliau dialu-alukan untuk menyaman saya dan Bernama.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang bangga kerana PBAPP masih mampu untuk mengekalkan tarif air terendah di negara ini iaitu pada kadar 32 sen bagi setiap 1,000 liter pertama untuk 35,000 liter. Ini dibandingkan dengan negeri kelahiran Liang iaitu Johor, yang mengenakan bayaran sebanyak 4 kali ganda lebih tinggi iaitu RM1.32.
Di samping itu, kita juga berasa bangga bahawa meskipun perubahan iklim yang telah menyebabkan banyak negeri mengenakan catuan air dalam tempoh 6 yang lalu, Pulau Pinang masih kekal sebagai satu-satunya negeri dalam sejarah di Malaysia yang tidak pernah mengenakan catuan air.
Liang sepatutnya memberi perhatian lebih kepada negeri asalnya di Johor dari segi mengurangkan kedua-dua tarif air dan kekerapan catuan air.