Skip to content

Libatkan Ahli Parlimen pembangkang dalam kajian Parlimen hibrid untuk mengelakkan sebuah Parlimen “Rubber Stamp” atau yang lumpuh dengan kuasa terhad bagi pemeriksaan perundangan dan pengawasan kerajaan secara penuh oleh Ahli Parlimen

Kurangnya kemahuan politik oleh Kerajaan PN yang gagal untuk mengadakan sidang biasa Parlimen, menimbulkan kebimbangan bahawa Parlimen hibrid akan menyebabkan Parlimen yang lumpuh dengan kuasa terhad bagi pemeriksaan perundangan dan pengawasan kerajaan secara penuh oleh Ahli Parlimen. Lima bulan setelah penggantungan Parlimen yang telah gagal mengawal dan membendung lonjakan bahaya dalam kes dan kematian COVID-19, PN berada di bawah tekanan dan terpaksa mengumumkan bahawa mereka telah bersetuju secara prinsip untuk mengadakan sesi Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara “hibrid”.

Menteri De Facto Undang-Undang Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sedang mengkaji rancangan konseptual Parlimen hibrid di mana Ahli Parlimen akan dapat mengambil bahagian secara fizikal dan juga secara maya. Tidak ada siapa yang tahu bentuk, sifat atau format Parlimen hibrid ini. Hampir semua Ahli Parlimen lebih mahu mengambil bahagian secara fizikal dalam sesi Parlimen berbanding secara maya. Ini akan menimbulkan pertikaian mengenai MP mana yang dapat mengambil bahagian secara fizikal dan prinsip bahawa semua MP harus dilayan secara saksama berdasarkan Peraturan Tetap.

Kajian rancangan konseptual untuk Parlimen hibrid perlu melibatkan Ahli Parlimen Pembangkang dan bukan sekadar prerogatif Kerajaan atau Kabinet. Takiyuddin harus diingatkan bahawa Parlimen adalah milik semua Ahli Parlimen dan bukan hanya dari Kerajaan. Ahli Parlimen Pembangkang perlu dibenarkan memberi input dan menyumbang pandangan mereka. Kegagalan untuk berbuat demikian berisiko menjadikan Parlimen hibrid sekadar “rubberstamp” walaupun sebelum ia bersidang.

Sudah tentu, Ahli Parlimen mungkin tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menerima sesi Parlimen hibrid, yang lebih baik daripada tidak ada sidang Parlimen sama sekali. Kebimbangan terbesar adalah bahawa Ahli Parlimen yang hadir secara maya dinafikan hak untuk memainkan peranan perlembagaan mereka sepenuhnya. Lagi pun tidak ada alasan mengapa semua Ahli Parlimen tidak boleh mengambil bahagian secara fizikal apabila mereka telah divaksinasi dengan lengkap. Apa gunanya memvaksinasi semua Ahli Parlimen dan masih menutup Parlimen, ketika sekolah, premis perniagaan dan bahkan stadium sukan boleh dibuka sebelum PKP, walaupun bukan semua orang telah divaksin?

Sekiranya kerajaan khuatir terhadap 380 kakitangan Parlimen yang masih tidak diberi vaksin, maka mereka seharusnya telah diberi vaksin lebih awal. Keengganan untuk melakukannya menunjukkan kurangnya kemahuan politik atau niat sebenar untuk tidak membenarkan sesi Parlimen bagi mengelakkan sebarang isyarat jelas bahawa Kerajaan PN telah kehilangan majoriti parlimennya untuk memerintah.

Kerajaan harus menghormati demokrasi berparlimen dan titah Agong bahawa Proklamasi Darurat tidak melarang Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk bersidang. PN tidak boleh mencairkan atau mengurangkan kuasa Parlimen untuk berfungsi sepenuhnya supaya kegagalan keseluruhan kerajaan oleh PN dalam mengurus pandemik COVID-19 dan proses vaksinasi yang perlahan dapat ditangani dan diperdebatkan sepenuhnya. Sidang Parlimen fizikal yang biasa berbanding dengan Parlimen hibrid akan membolehkan Parlimen mencari jawapan serta menggerakkan usaha keseluruhan masyarakat untuk memerangi dan mengatasi COVID-19 melalui Program Imunisasi Kebangsaan yang pantas dan lancar.