Skip to content

Lim Kit Siang melawat Serian, menyeru pengundi melakar sejarah

Satu ceramah Ubah Truck telah diadakan di Serian semalam, ceramah politik pertama di Pekan Serian selepas penamaan calon. Walaupun hujan, kira-kira 300 orang hadir di ceramah tersebut. Pemimpin-pemimpin DAP yang hadir ialah Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Senawang Arul, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong dan saya. Semua hadir untuk memberi sokongan kepada calon DAP kawasan Bukit Semuja, Edward Luwak.

Lim Kit Siang menyeru para hadirin untuk berani melakar sejarah dan mengundi DAP sebagai tanda Rakyat telah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Najib Razak, di samping menekankan bahawa DUN Sarawak memerlukan pembangkang yang kuat untuk memantau kerajaan.

Saya menyeru pengundi Serian untuk keluar mengundi, sekaligus meningkatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 20% terutamanya di kawasan pekan bagi memastikan kemenangan calon DAP.

Menjawab tuduhan oleh Barisan Nasional bahawa DAP adalah parti Cina, Edward berkata bahawa kehadiran pemimpin-pemimpin parti yang majmuk telah menyangkal tuduhan sedemikian. Beliau juga berkata bahawa PBB merupakan parti komponen BN yang didominasi oleh UMNO menunjukkan parti tersebut dikuasai oleh parti Semenanjung. Sebaliknya, surat-surat watikah yang dikeluarkan kepada calon-calon DAP di Sarawak adalah ditandatangani oleh DAP Sarawak yang berautonomi.