Skip to content

Lim Lip Eng ingin mengingatkan Tei dan orang ramai bahawa dia adalah ahli politik PERTAMA yang secara terbuka menyokong beliau ketika muncul sebagai pemberi maklumat tanpa nama pada November tahun lalu.

Saya merasa terpanggil untuk menjawab kenyataan terbaru Albert Tei yang mendakwa “DAP tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung kes rasuah di Sabah yang dibongkarnya”.

Saya ingin mengingatkan Tei dan orang ramai bahawa saya adalah ahli politik PERTAMA yang secara terbuka menyokong beliau ketika muncul sebagai pemberi maklumat tanpa nama pada November tahun lalu.

Pada 11 November 2024, saya mengeluarkan kenyataan menawarkan kepada Tei: “Saya bersedia mengemukakan bukti dan mendedahkan nama yang terlibat di Parlimen serta mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka.” [Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/695936/berita/semasa/dakwaan-kes-rasuah-libat-adun-lip-eng-minta-pemberi-maklumat-hubunginya]

Malah, seorang editor berita telah mengaturkan pertemuan antara saya dan Tei, namun pertemuan tersebut akhirnya tidak terjadi.

Satu soalan penting untuk Tei: Mengapa engkau enggan bekerjasama dengan saya ketika itu?

Sekiranya Tei memberikan maklumat dan bukti kepada saya pada November lalu, saya sudah tentu akan membawanya ke Parlimen untuk didedahkan dan mendesak tindakan kerajaan. Berkemungkinan Tei tidak akan didakwa di mahkamah sekiranya beliau memberikan maklumat tersebut melalui saluran betul seperti yang saya tawarkan.

Sebenarnya, ketika isu ini mula-mula terbongkar, PAS dan Bersatu berdiam diri dan hanya menjadi ‘pelakon drama’ apabila melihat ada peluang politik untuk dieksploitasi.

Sikap konsisten DAP memerangi rasuah tidak perlu dipertikaikan. Kami tidak perlu menunggu isu menjadi panas untuk menunjukkan komitmen ini.