Skip to content

Lim Lip Eng: PAS Cakap Tak Serupa Bikin, Ajar Tamil & Mandarin Dulu di PASTI

Jika benar Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, ikhlas dengan cadangan supaya bahasa Tamil dan Mandarin dijadikan subjek di sekolah kebangsaan, maka beliau wajar terlebih dahulu membuktikan kesungguhan dengan melaksanakan perkara yang sama di PASTI – pusat prasekolah milik PAS sendiri. Jangan hanya pandai berucap di pentas, tetapi gagal mengamalkan di gelanggang sendiri.

Lebih mengejutkan, Tuan Ibrahim seolah-olah tidak tahu bahawa Bahasa Cina dan Bahasa Tamil sudah lama ditawarkan sebagai mata pelajaran tambahan di sekolah kebangsaan. Cadangan ini jelas membuktikan beliau tidak memahami sistem pendidikan sedia ada, atau lebih buruk, sengaja mahu memainkan sentimen perkauman dengan menimbulkan isu yang tidak wujud.

Persoalan utama kini ialah: adakah ini pendirian rasmi PAS atau sekadar pandangan peribadi Tuan Ibrahim? Jika ini hanya retorik peribadi, janganlah mempergunakan isu pendidikan untuk meraih perhatian. Jika ini benar-benar dasar baru PAS, sila nyatakan dengan jelas dan buktikan pelaksanaan segera di PASTI.

Janganlah isu pendidikan anak-anak kita dijadikan bahan politik murahan.