Skip to content

Lima janji manis PRK Teluk Intan tidak dikotakan

31 Mei 2015 menandakan genap setahun selepas Pilihan Raya Kecil Teluk Intan 2014 yang mendapat perhatian media dan seluruh rakyat Malaysia. Sudah pasti pengundi Teluk Intan juga masih ingat dengan semua janji-janji manis yang ditawarkan oleh calon Barisan Nasional ketika kempen PRK tersebut.

Namun, setahun kemudian, pelbagai tanda tanya timbul mengenai pelaksanaan manifesto pilihan raya oleh Barisan Nasional yang dijanjikan kepada pengundi Teluk Intan. Antaranya;

Pertama, zon wifi dan penambahbaikan kemudahan jalur lebar. Walaupun Teluk Intan disenaraikan di dalam laman TMNet sebagai zon Unifi, tinjauan mendapati perkhidmatan tersebut masih belum wujud di dalam kawasan Teluk Intan. Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata untuk tujuan itu, pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan infrastruktur asas jalur lebar di kawasan terlibat. Adakah penyediaan infrastruktur tersebut telah dimulakan dan apakah usaha yang telah dilakukan untuk menepati janji ini?

Kedua, berkenaan pembinaan sebuah universiti atau institusi pengajian tinggi terkemuka. Sehingga kini, lot tanah yang telah dikenalpasti untuk pembinaan sebuah universiti masih belum digazetkan dan masih lagi di bawah nama sebuah syarikat tersenarai awam. Pelan terperinci pembangunan universiti juga masih belum diketahui. Sebelum ini, penekanan ke arah pendidikan melalui manifesto tersebut dikatakan bakal mengubah wajah bandar Teluk Intan. Namun sampai sekarang, semua penduduk Teluk Intan masih menunggu untuk mendengar pelan terperinci dan apakah manfaat kemajuan dan pembagunan yang bakal dibawa.

Ketiga, menjadikan Teluk Intan sebagai hab pertanian moden. Jawapan daripada Kerajaan Negeri pada Disember 2014 menyatakan tiada cadangan menjadikan Teluk Intan sebagai hab pertanian moden dan sekaligus menidakkan janji yang dibuat oleh calon BN yang kini menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Jadi, bagaimanakah Teluk Intan boleh dijadikan hab pertanian moden seperti yang telah dijanjikan?

Keempat, Rancangan Tebatan Banjir Teluk Intan. Anggaran kos yang diperlukan adalah sebanyak RM360 juta. Walaupun RM30 juta telah diluluskan untuk memulakan projek tebatan banjir tersebut, apakah garis masa bagi projek keseluruhannya dan bilakah baki peruntukan RM330 juta akan diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran?

Kelima, taraf tapak Warisan Dunia Unesco Teluk Intan. Manifesto yang dibentangkan menjanjikan Menara Jam Condong sebagai tapak Warisan Dunia Unesco. Timbalan Perdana Menteri pada 28 Februari yang lepas telah mengisytiharkan Menara Condong sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan, sebagai usaha menarik perhatian antarabangsa agar dapat menjadi tapak Warisan Dunia Unesco. Walau bagaimanapun, ini bukanlah perkara baru kerana pada Mei 2012, Dato’ Seri Rais Yatim selaku Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan telah pun mengisytiharkan Menara Condong sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan, dua tahun sebelum PRK Teluk Intan. Oleh itu, pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri pada Februari lepas tidak menandakan usaha baru dalam mendapatkan pengiktirafan antarabangsa. Adakah pengisytiharan kali kedua oleh TPM itu hanya untuk memperdayakan pengundi?

Setahun selepas Pilihan Raya Kecil Teluk Intan 2014, banyak dolak-dalik telah berlaku dalam pelaksanaan manifesto Barisan Nasional. Penduduk dan pengundi Teluk Intan semestinya ingin mengetahui apakah status terbaru berkenaan pelbagai pelan pembangunan dan penambahbaikan yang dijanjikan. Saya berharap supaya manifesto itu bukan hanya janji tinggal janji dan menggesa agar ia dikotakan oleh Ahli Parlimen Teluk Intan, Dato’ Mah Siew Keong yang juga merupakan seorang Menteri Kanan Kerajaan BN.