Skip to content

Lima laporan PAC telah dibentangkan sepanjang tahun ini

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen mendapat taklimat daripada Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri (Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun) serta LKAN Tahun 2019 (Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan) yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Secara keseluruhan, LKAN 2019 – Aktiviti Kementerian / Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan mengandungi 15 Laporan yang melibatkan 12 Kementerian dengan 62 Syor Audit diberikan.

Manakala untuk LKAN 2019 – Penyata Kewangan Dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan Tahun 2019, sebanyak 69 Sijil KAN telah dikeluarkan antaranya 51 Sijil Tanpa Teguran, 11 Sijil Tanpa Teguran dengan EOM dan 7 Sijil Berteguran.

PAC Parlimen mengambil maklum isu-isu yang dibangkitkan Ketua Audit Negara dalam kedua-dua laporannya dan akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan Kementerian/Jabatan/Badan Berkanun/Agensi Kerajaan Persekutuan yang akan dipanggil di hadapan Jawatankuasa ini untuk menjalani prosiding.

Jawatankuasa ini mempunyai hubungan erat serta mendapat kerjasama penuh daripada Jabatan Audit Negara (JAN) dalam menjalankan segala siasatannya melalui prosiding yang diadakan berdasarkan peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat 77(1)(c) dan Arahan Perbendaharaan 304(a) dan ia jelas dapat dilihat dalam Laporan PAC yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Sepanjang tahun ini, Jawatankuasa ini sudah membentangkan lima Laporan PAC dan empat daripadanya membabitkan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara manakala satu lagi laporan adalah berdasarkan kepentingan awam.

Empat laporan berkenaan adalah Pengurusan Projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis, Projek Sistem Kutipan Caj jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP), Aktiviti Kawalan Pekerja Asing serta Pengurusan Educational Malaysia Global Services (EMGS) dan laporan PAC berhubung Penjualan Tanah Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah membabitkan kepentingan awam.

Selain itu, Jawatankuasa ini juga membentangkan tiga laporan Tindakan Susulan Kementerian terhadap syor yang dibangkitkan dalam Laporan PAC membabitkan Tuntutan Tunggakan Bayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) Berjumlah RM19.4 Bilion, Kerugian Pelaburan Khazanah Nasional dan Pembangunan Air Mobility.

Sejak 3 November 2020 sehingga hari ini Jawatankuasa ini sudah mengadakan 38 mesyuarat serta taklimat dan jumlah keseluruhan sejak awal tahun adalah sebanyak 49 kali.